Connect with:




Berita gembira pastinya buat peminat badminton negara yang telah lama merindui kelibat jaguh perseorangan lelaki , Datuk Lee Chong Wei di atas gelanggang, apabila beliau mengumumkan akan kembali ke gelanggang menjelang Januari tahun depan.

Setelah disahkan pulih daripada penyakit barah hidung tahap satu sejak Julai lalu, Chong Wei kini masih lagi dalam tempoh berehat dan mengakui beliau perlu meneruskan lagi proses pemulihan di Taiwan.

Menurut pemain berusia 36 tahun itu, meskipun sudah pulih dari penyakit tersebut, beliau hanya akan turun ke gelanggang apabila doktor memberikan kebenaran buatnya kembali beraksi.

“Kembali bulan ini mungkin tidak kerana saya masih perlu ke Taiwan dan mungkin paling cepat saya akan kembali adalah pada Januari depan.

“Setakat ini, semua perkara mengenai proses  pemulihan saya berada dalam keadaan baik dan apa yang penting saya sentiasa berhubung dengan doktor dan beliau menasihatkan saya agar tidak terburu-buru kerana ini bukannya masalah kecederaan,” katanya selepas menandatangani kontrak sebagai duta produk minuman isotonik di sini Putrajaya semalam.

Ketika ditanya mengenai penyertaannya dalam Kejohanan All England 2019 pada Mac tahun hadapan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing dan Rio itu mengaku masih belum pasti mengenai hal itu.

“Memang saya nak, tetapi buat masa sekarang saya tak boleh cakap ‘yes’ (ya). Tetapi apa yang penting saya ada kemahuan untuk turun beraksi,” katanya.

Kali terakhir Chong Wei beraksi di tahap kompetitif adalah ketika beliau tunduk di tangan pemain Jepun, Kento Momota pada saingan separuh akhir Terbuka Indonesia 2018 Julai lalu.

 

Foto : Facebook Lee Chong Wei

Sumber : Bernama