Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek menyatakan hasratnya untuk menggilap kembali corak permainan pemain perseorangan negara terutamanya Datuk Lee Chong Wei.

Kehadiran Misbun yang sangat baru di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tidak dapat menurunkan ilmu sepenuhnya kepada Chong Wei di Kejohanan Dunia Glascow.

Pada aksi tersebut, Chong Wei tersingkir seawal pusingan pertama di tangan pemain Perancis iaitu Brice Leverdez.

Justeru, Misbun berharap semua pihak dapat memberikan masa dan ruang kepadanya untuk melakukan persiapan ke atas pemain negara.

“Beri saya masa. Jika setiap pemain terbuka hendak belajar, saya yakin keputusan akan memihak kepada kita,”ujarnya.

Mengulas lanjut prestasi Chong Wei di Kejohanan Dunia, Misbun berkata, apa yang berlaku kepada jaguh perseorangan negara itu sebenarnya bukan soal permainannya.

Chong Wei dikatakan keliru terutama membabitkan tips ketika beraksi kerana Misbun tidak bersamanya lebih kurang enam tahun untuk melatihnya.

“Sepanjang tempoh itu banyak jurulatih bersilih ganti melatihnya dan dalam tempoh lima minggu, saya hanya dapat beri sedikit bantuan daripada perspektif yang perlu dia berwaspada.

“Bagaimanapun saya tak salahkan dia,” katanya.

Foto Kredit: Jamaica Badminton Association