Malaysia mudah membelasah pasukan China dengan jaringan besar 89-0 dalam aksi separuh akhir Ragbi HSBC Asian 5 Nations (A5N) di Stadium Petaling Jaya, semalam sekaligus menempah tiket ke final Divisyen 2.

Turun sebagai tuan rumah bagi edisi kali ini membuatkan anak-anak buah Boon Hoon Chee bersemangat dan dibuktikan dengan kemenangan yang agak mudah.

Malaysia bermula garang pada awal permainan dengan melakukan asakan ke pihak lawan dan berjaya memperolehi try pertama oleh Zukifli Azmi seawal minit ke 6. China yang tersentak dengan corak permainan pantas Malaysia cuba untuk mencari peluang dan memberi tekanan kepada Malaysia namun gagal berbuat demikian.

Bersemangat bermain di hadapan penyokong sendiri, Malaysia berjaya menambah try dan conversion dengan Dinesh memberikan try terakhir skuad kebangsaan untuk mendahului China dengan 24-0 dalam babak pertama.

Bersambung babak kedua, China mula mengorak langkah dengan melakukan beberapa asakan terhadap kubu pasukan Malaysia. Namun benteng pasukan Malaysia yang diketuai oleh Md. Syahir Asyraf mudah menangkis serangan lawan.

Diperkuatkan dengan kehadiran 3 pemain naturalisasi, China akhirnya akur dengan kehebatan skuad Malaysia dan perlawanan berakhir dengan Malaysia menang besar 89-0.

Dengan kemenangan tersebut, pasukan Malaysia bakal bertemu Thailand pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium MBPJ Kelana Jaya, Sabtu ini. Perlawanan final ini nanti diibaratkan ulangan final Divisyen 2 tahun 2008 yang mana Thailand muncul juara di laman sendiri.

Sebelum itu, Thailand turun menentang Iran pada perlawanan separuh akhir pertama dan berjaya menewaskan lawan 37 -17.