Kelab Inggeris, West Ham United bersetuju dengan syarat yang ditetapkan Bayer Leverkusen bagi menandatangani bekas penyerang Manchester United, Javier Hernandez.

Pemindahan Hernandez dikatakan bernilai sekitar 16 juta pound (RM89 juta).

Pemain yang dikenali sebagai Chicharito itu dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan di London bagi melengkapkan syarat-syarat pemindahan.

Pengendali The Hammers, Slaven Bilic berkata, pihaknya bekerja keras untuk kekal aktif semasa jendela perpindahan musim panas dibuka.

Menurutnya, mereka cuba mendapatkan beberapa penyerang berkualiti sebagai tambahan tetapi bukan mudah.

“Kami semakin hampir dan saya pasti kami akan lakukan sesuatu,” katanya.

Bekas penyerang United dan Real Madrid itu menyertai United dari Chivas pada 2010 dan menjaringkan 59 gol daripada 156 penampilan, selain pernah dipinjamkan ke Madrid sebelum menyertai Leverkusen pada Ogos 2015.

Di Jerman, dia meledak 39 gol dalam 76 perlawanan dan namanya berada dalam senarai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Mexico selepas menjaringkan gol ke-47 di peringkat antarabangsa dalam penampilan ke-91 ketika menentang Croatia, Mei lalu.- AGENSI