Connect with:




Menjelang aksi pembukaan Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki malam ini, pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe menuntut semangat juang yang tinggi dari anak buahnya andai enggan ‘tenggelam’ dalam sorakan padu 50,000 penyokong tuan rumah yang dijangka membanjiri Stadium Olimpik Phnom Penh.

Pada 10 September lalu, skuad Harimau Malaya pernah melalui tekanan beraksi di stadium tersebut di mana mereka dipaksa untuk bangkit dari ketinggalan satu gol sebelum keluar sebagai pemenang dengan keputusan 3-1 dalam aksi persahabatan.

“Saya harap semua pemain dapat mempamerkan semangat berpasukan dan juang yang tinggi kerana ini bukan laluan mudah apabila bertandang ke tempat stadium ini ditambah dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.

“Tekanan pasti ada untuk pemain-pemain yang akan beraksi di hadapan kehadiran puluhan ribu penyokong Kemboja dan ditambah dengan harapan tinggi penyokong di Malaysia. Namun saya harap mereka mampu mengatasinya dengan bijak.

“Memang kami hadir untuk mendapatkan keputusan positif, kita tahu walaupun tidak mencatatkan kemenangan dalam beberapa perlawanan sebelum ini namun Kemboja beraksi sangat baik. Saya sangat berharap pemain sudah bersedia untuk menyerap segala tekanan,” kata Cheng Hoe dalam sidang media praperlawanan semalam.

Dalam pada itu jurulatih Kemboja, Felix Gonzalez tetap optimis meskipun tanpa kehadiran pengurus pasukan, Keisuke Honda ketika bertemu Harimau Malaya malam ini, beliau yakin ianya tidak menjejaskan moral anak buahnya untuk membuat kejutan.

Honda yang mencetuskan fenomena baru terhadap bola sepak Kemboja apabila perlantikan beliau sebagai pengurus serta kehadirannya di tepi padang sewaktu bertemu Malaysia 10 September lalu berjaya membangkitkan semangat pemain Kemboja meskipun tewas 3-1.

Namun begitu Gonzalez tetap mengakui bahawa Honda yang beraksi dengan kelab Liga Australia Melbourne Victory tetap memainkan peranan besar dalam persiapan pasukan biarpun tidak dapat bersama di saat genting ini.

“Beliau (Honda) tidak akan bersama pasukan pada perlawanan pertama ini, memang Keisuke penting buat pasukan tapi beliau masih mempunyai komitmen bersama pasukan namun beliau masih mebantu dan kami saling berhubung. Beliau tahu setiap apa yang terjadi dalam pasukan.

“Memang agak berbeza tanpa beliau, aura yang ada padanya mampu memberikan suasana baru buat pasukan tapi saya fikir ianya tidak menjejaskan fokus serta pesiapan kami,” katanya dalam sidang meida yang sama.

Sumber : Bernama