Connect with:




Pengendali pasukan Malaysia, Tan Cheng Hoe, menyifatkan kehadiran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh mampu memberi impak positif terhadap persembahan skuad Harimau Malaya selain memberi lebih pilihan buat dirinya dalam mempelbagaikan idea di jentera serangan skuad negara.

Sedar harapan yang diletakkan terlalu tinggi terhadap Sumareh, Cheng Hoe tampil mempertahankan pemain kelahiran Gambia itu apabila meminta para penyokong agar bersabar untuk melihat impak yang mampu diberikan Sumareh terhadap persembahan skuad kebangsaan.

“Saya gembira melihat beliau (Sumareh) mampu menyesuaikan diri dengan pemain-pemain lain dalam skuad negara dan saya tahu harapan yang diletakkan cukup besar terhadap Sumareh namun saya minta para penyokong kita memberi sedikit ruang kerana saya tidak mahu dia merasai sebarang tekanan.

“Satu perkembangan positif sebenarnya yang diambil pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan membenarkan pemain naturalisasi untuk menyarung jersi kebangsaan namun secara peribadi saya merasakan kita tetap kena bergantung harap kepada anak tempatan.

“Bagi saya untuk jangka masa panjang adalah lebih elok jika kita bergantung harap kepada pemain tempatan kita kerana kita perlu ingat, kita tidak tahu berapa lama seorang pemain naturalisasi akan kekal jadi untuk jangka masa panjang, saya memilih untuk bergantung kepada pemain tempatan kita,” katanya ketika ditemui wartawan Dunia Sukan di ruang makan Hotel Palace The Golden Horses tengah  hari tadi.

Pada masa sama, Cheng Hoe turut memberi pandangan mengenai pengumuman Majlis Konfederasi Bola Sepak ASEAN tahun lalu yang menyatakan format baru akan digunakan pada Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018.

Di mana pada edisi kali ini pasukan bertanding akan dibahagi kepada dua kumpulan terdiri daripada lima pasukan, dengan kesemuanya beraksi dua perlawanan di tempat sendiri serta dua aksi di gelanggang lawan, dan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati.

“Bagi saya ianya satu perubahan yang positif diambil pihak AFF, kerana format baru ini bakal memberi masa rehat yang cukup buat semua pasukan terlibat selain ianya memberi kelebihan serta motivasi yang lebih kepada pemain kerana mereka dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“ Jika melihat kepada format yang lama, pemain-pemain sedikit keletihan mungkin kerana jadual yang padat selain harus mengharungi perjalanan jauh dalam tempoh yang singkat jadi saya rasa format baru ini akan memberi kesan positif untuk semua negara bertanding dalam Piala AFF Suzuki 2018,” katanya lagi.

Skuad negara akan bertandang ke Stadium Olimpik Phnom Penh pada 8 November bagi mengharungi perlawanan pembukaan bertemu Kemboja.