Connect with:




Menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A, Kejohanan AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, skuad Harimau Malaya harus berwaspada dengan ancaman dari pasukan Myanmar terutama dari aspek serangan pasukan itu.

Maka, jentera serangan pasukan Malaysia di seru pengendali mereka, Tan Cheng Hoe untuk lebih tajam di hadapan gawang ketika turun beraksi pada perlawanan wajib menang itu andai mahu ke separuh akhir.

“Kita sedar serangan balas yang laju dari Myanmar cukup bahaya dan berkesan terutama sekali pemain bernombor 10, 11 dan 16,  malah mereka juga dibarisi pemain yang mempunyai semangat juang tinggi, komited, dan keinginan yang tinggi dalam bertahan dan menyerang.

“Barisan kita harus pastikan tiada sebarang kesilapan yang bole mengakibatkan pintu gol dibolosi dan saya menegaskan corak permainan kami tiada perubahan kerana kami berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan sebelum ini cuma bertemu Vietnam kita kurang bernasib baik,” katanya pada sesi latihan semalam.

Cheng Hoe tidak menafikan beliau dan para pemain sedikit lega apabila Vietnam sekadar seri 0-0 ketika bertemu Myanmar di Yangon.

“Lega sedikit dengan keputusan itu namun kami tetap kena menang atau kami terlepas slot ke pentas separuh akhir, kita kena ambil tiga mata untuk mara ke separuh akhir dengan selesa,” jelas Cheng Hoe.

Dalam pada itu Cheng Hoe turut memberitahu bahawa pemainnya kini cukup bermotivasi dan kesempatan beraksi di hadapan penyokong sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Saya yakin pemain kini pada prestasi terbaik dan momentum semangat ini akan berkekalan malah bertambah jika stadium dibanjiri penyokong.

“Harapnya pemain tidak tertekan kerana kita sedar bukanlah sesuatu yang mudah untuk membawa misi hidup dan mati namun saya memberi sepenuh keyakinan terhadap prestasi pemain,” jelasnya lagi.

 

Foto : Facebook FAM

Sumber : Bernama