Connect with:




Barcelona menunjukkan Chelsea cara bermain bola yang sebenar apabila mudah mencatat kemenangan 3-0 ke atas Chelsea dalam aksi timbal balik saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Nou Camp, awal pagi tadi.

Lionel Messi muncul wira Barcelona apabila dua jaringannya membantu pasukan Catalan itu membelasah Chelsea sekali gus mencatat gol yang ke 100 untuknya dalam kejohanan tersebut.

Chelsea yang memerlukan sekurang-kurangnya satu gol, tersentak dengan jaringan awal oleh Messi yang menerima umpanan daripada Luiz Suarez. Ketika gol itu dijaringkan, Chelsea belum sempat membuat hantaran pun.

Terkejut dengan gol pantas tuan rumah, Chelsea cuba untuk memperbaiki permainan namun Messi sekali lagi menunjukkan siapa ‘raja’ apabila mengumpan bola kepada Ousmane Dembele untuk gol kedua Barcelona.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang dan pada minit ke-63 Messi menghabiskan sisa-sisa perjuangan Chelsea apabila menjaringkan gol ketiga iaitu jaringannya yang  ke-100 melalui 123 penampilan dalam Liga Juara Juara seterusnya membantu pasukannya membelasah Chelsea dengan agregat 4-1.

Messi menjadi pemain kedua mencatat tahap berkenaan dalam kejohanan utama Eropah itu, selepas pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo, yang menjaringkan 117 gol dalam 152 perlawanan. – AFP

Foto Kredit : everythingbarca(dot)com