SHAH ALAM : Bekas pemain tengah Newcastle United Cheick Tiote telah meninggal dunia selepas rebah semasa menjalani latihan bersama kelab terbarunya Beijing Enterprise di China semalam.

Anggota pasukan Ivory Coast yang beusia 30 tahun itu dikatakan tiba-tiba rebah di atas padang sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Tiote beraksi bersama Newcastle selama tujuh tahun sebelum berhijrah ke China. Dia beraksi di Kejohanan Piala Afrika untuk negaranya ketika mereka muncul juara pada 2015

“Berita yang sangat menyedihkan, saya sahkan Cheick Tiote meninggal dunia ketika sesi latihan bersama kelab, Beijing Enterprises.

“Kami tidak dapat mengulas lanjut (mengenai punca kematian) buat masa ini untuk menghormati keluarganya yang sedang melalui masa sukar ketika ini. Kami berharap semua orang mendoakan yang terbaik untuknya,” kata agen dan jurucakap pemain itu, Emanuele Palladino.

Bakat Tiote diberikan penghormatan oleh Pengurus Newcastle, Rafael Benitez yang disifatkannya sebagai seorang daripada 10 kanak-kanak yang membesar dalam kemiskinan tanpa mengenali kasut bola hinggalah umurnya 15 tahun tetapi berjaya hingga ke peringkat antarabangsa.

“Amat menyedihkan kehilangan pemain sepertinya. Sepanjang mengenalinya, dia seorang yang cukup professional, berdedikasi dan lelaki yang hebat. Kami simpati dengan keluarga dan rakan-rakannya dalam melalui saat sedih ini,” kata Benitez menerusi laman web rasmi Newcastle.

Bekas rakan sepasukannya menggunakan media sosial untuk menzahirkan rasa simpati serta takziah masing-masing ke atas permain terbaru Afrika yang meninggal dunia selepas pengsan di padang bola.