Pendahulu keseluruhan kategori CP130, Azlan Shah KamaruzamanPenguasaan pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing dalam kategori CP130, Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini jelas dengan empat pelumbanya berada dalam posisi yang baik untuk menduduki lima tempat teratas di akhir musim nanti.

Namun pengurus pasukan, Soong Chee Kieong tidak mahu anak-anak buahnya hilang fokus mereka menjelang Pusingan 9 yang akan berlangsung di Litar Sepang Selatan hujung minggu ini.

Pendahulu keseluruhan, Azlan Shah Kamaruzaman bersama rakan-rakan sepasukannya; juara bertahan, Norizman Ismail, Mohd Affendi Rosli dan Mohd Fitri Ashraff Razali telah mempamerkan prestasi cemerlang sejak permulaan musim dengan masing-masing berjaya menaiki podium dalam setiap perlumbaan yang mereka sertai.

Pencapaian mereka yang paling cemerlang musim ini ialah apabila berjaya menamatkan perlumbaan pusingan 5 di Teluk Intan di posisi empat teratas, sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan sebelum ini.

Namun selepas berehat panjang sepanjang Ramadhan persembahan mereka agak goyah apabila kembali beraksi. Para pelumbanya kerap melakukan kesilapan-kesilapan yang biasanya tidak akan dilakukan dalam keadaan biasa, sesuatu yang Soong salahkan kepada perasaan gementar yang dirasai oleh anak-anak buahnya.

Soong menasihati mereka supaya tidak terlalu memikirkan tentang kutipan mata dalam perlumbaan dua pusingan terakhir di Sepang dan juga Pulau Pinang, sebaliknya menumpukan perhatian untuk memberikan persembahan terbaik seperti yang mereka telah lakukan di permulaan musim.

Dengan perhatian penuh serta jentera mereka yang berada dalam keadaan terbaik, Soong percaya mereka mampu untuk membawa keputusan yang terbaik buat pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing dalam usaha mereka untuk menjuarai kategori CP130 musim ini.