Persatuan Bola Sepak (FA) England telah menggantung penyerang Southampton, Charlie Austin sebanyak tiga perlawanan.

Hal ini kerana dia sengaja menyepak penjaga gol Huddersfield, Jonas Lossl selepas kedua-duanya bertembung Sabtu lalu.

Ekoran kekasaran tersebut, Lossl mengalami patah hidung, namun tetap meneruskan saingan sehingga minit ke-90 yang menyaksikan kedua-dua pasukan berpuas hati dengan seri 1-1.

Pengurus Huddersfield, David Wagner tanpa berselindung mengkritik sikap pemain berusia 28 tahun itu yang dianggap sebagai tidak profesional.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pemain profesional. Para pemain tidak boleh mencederakan pemain lain semata-mata mahu meraih kemenangan.

“Lossl juga sangat terkejut dengan cara Austin beraksi. Ia adalah satu kekasaran yang jijik dan ia tidak sepatutnya berlaku. Austin telah membuat keputusan yang salah dan dia wajar dikenakan tindakan yang lebih keras,” ujarnya.

Austin seolah-olah menerima ‘karma’ ekoran perbuatannya itu apabila turut mengalami kecederaan hamstring dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-79 pada perlawanan itu.

Pemain kelahiran England itu telah berjaya meledakkan lima gol dalam lima penampilannya bersama Southampton.

Dia bakal terlepas tiga aksi pen­ting iaitu ketika berdepan Tottenham Hotspur, Manchester United serta Crystal Palace. – Agensi

Sumber : Kosmo

Foto Kredit : Twitter ( @chazaustin10)