Connect with:




Laporan telah dibuat oleh Atletico Madrid kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan rundingan haram ke atas Antoine Griezmann.

Rundingan haram itu dilakukan oleh Barcelona dalam mendapatkan khidmat bintang itu.

“Laporan dibuat berkenaan hubungan berulang kali antara Barcelona, pemain dan pasukannya,” kata sumber dalaman Atletico kepada AFP.

Griezmann, 26, bersetuju menandatangani kontrak baharu sehingga tahun 2022 bersama Atletico Jun lalu selepas rayuan kelab terhadap penggantungan perpindahan pemain ditolak.

Atletico menganggap perbuatan Barcelona bukan saja melanggar peraturan FIFA, tetapi mampu memberi kesan kepada integriti La Liga.

Akhbar sukan berpangkalan di Barcelona, Mundo Deportivo Ahad lalu melaporkan, presiden Barca Josep Maria Bartomeu baru-baru ini bertemu dengan keluarga Griezmann.

Barca dikatakan sanggup membayar 100 juta euro (RM482.4 juta) kepada pemain Perancis itu untuk membayar pampasan kontraknya akhir musim ini, sekali gus mengelakkan sebarang rundingan dengan Atletico.

Barca dikenakan penggantungan perpindahan selama setahun oleh FIFA kerana mengambil pemain muda dari luar secara salah, dan sudah menjalani hukuman berkenaan pada tahun 2015.

Sekiranya gergasi Catalan itu sekali lagi didapati bersalah, mereka akan dikenakan penggantungan kali kedua dalam mendaftarkan pemain baharu.

Griezmann sudah meledak 90 gol dalam 179 penampilannya bersama Atletico sejak berpindah dari Real Sociedad pada tahun 2014 dan membimbing Los Rojiblancos ke final Liga Juara-Juara 2016, dan meledak dua gol untuk menyingkirkan Barca di suku akhir.-AFP

Sumber : Harian Metro

Foto Kredit : Twitter (@AntoGriezman)