cc
Pendahulu Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City dengan kerjasama syarikat telekomunikasi U-mobile dan BCARD akan menganjurkan peraduan khas dengan pemenang berpeluang memenangi hadiah utama iaitu menyaksikan perlawanan terakhir Cardiff City di Stadium Millenium Cardiff, April nanti.

Peraduan ini dianjurkan selama 6 minggu bermula 16 Februari ini sehingga 31 Mac. Pelanggan Bcard perlu menggunakan kad mereka sekurang-kurangnya sebanyak 2 kali sementara pengguna U-Mobile perlu membuat tambah nilai sebanyak RM30 untuk menyertai peraduan ini.

Bagi pemilik Cardiff City,  Dato’ Seri Vincent Tan, peraduan ini salah satu usaha Cardiff City untuk menghargai sokongan rakyat Malaysia kepada kelab ini.

“Tahun ini dilihat peluang terbaik untuk Cardiff melayakkan diri ke Liga Perdana. Kita sedang mendahului pasukan lain dengan 10 mata namun masih banyak lagi perlawanan yang perlu dihadapi.

“Dengan mengharapkan kejuaraan menjadi milik Cardiff, peraduan ini memberi peluang kepada pemenang dikalangan rakyat Malaysia untuk merasai sendiri suasana dan kemeriahan di stadium nanti” kata Vincent yang ditemui pada majlis pelancaran peraduan yang diberi nama ‘Experience the Fire and Passion of Cardiff City Football Club’ di Starbucks, Berjaya Times Square.

Dalam pada itu, Vincent tidak melupakan bolasepak Malaysia dengan membantu pembangunan bolasepak negara menerusi beberapa program yang dianjurkan Cardiff City di Malaysia.

Antara program-program tersebut adalah penganjuran Liga 1MCC, penghantaran remaja Felda ke latihan bersama Cardiff City serta pemberian 20,000 biji bola kepada sekolah terutamanya sekolah-sekolah luar bandar.

Vincent turut menambah dia ada berbincang bersama pemilik QPR, Tan Sri Tony Fernandes untuk membangunkan lagi mutu bolasepak negara.

“Memang kami ada berbincang namun selain dari dia (Tony), tiada pihak lain yang berusaha untuk menemui kami bagi membantu bersama-sama memajukan bolasepak Malaysia” tambah Vincent yang turut berharap QPR dapat kekal di Liga Perdana Inggeris sekaligus menyaksikan pertarungan ‘Malaysian Derby’ sekiranya pasukannya berjaya layak ke liga nombor 1 didunia itu.