Hari terakhir Piala Monsun 2012 menyaksikan kejutan-kejutan dilakukan oleh ‘skipper’ muda Taylor Canfield dan Phil Robertson apabila berjaya menewaskan lawan masing-masing yang lebih berpengalaman di peringkat separuh akhir yang dilangsungkan tengahari tadi.

Taylor Canfield yang bertanding buat pertama kali di kejohanan penutup musim ini melalui tiket ‘wild card’ meneruskan rentak kemenangan dari peringkat suku akhir semalam dengan mengecewakan impian Ian Williams untuk menjadi juara berganda di Pulau Duyong ini.

Dalam pertemuan mereka Canfield berjaya menewaskan Williams yang memenangi kejuaraan Jelajah ‘Match Racing’ Dunia ALPARI (AWMRT) 2012 semalam dengan keputusan 2-0, sesuatu yang turut diulangi oleh Phil Robertson yang menewaskan juara dua kali Piala Monsun, Datuk Peter Gilmour dalam satu lagi pertemuan separuh akhir.

Williams yang berharap untuk bertemu dengan Gilmour dalam final terpaksa menerima hakikat bahawa perlawanan impiannya itu hanya akan berlaku dalam final ‘petit’ yang menentukan tempat ketiga di Piala Monsun ini.

Gilmour yang mengumumkan bahawa beliau tidak akan belayar secara kompetitif lagi selepas kejohanan ini menyatakan bahawa dia ingin menamatkan karier ‘match racing’nya dengan penyudahan di podium. Tetapi keinginan itu dimusnahkan oleh Williams yang berjaya menewaskan Gilmour dengan mata 2-0.

Dalam final, Canfield yang memenangi peringkat 8, Piala Emas Aggro di Bermuda bermula dengan satu penalti dikenakan ke atasnya apabila dia melakukan kesalahan ketika pra-permulaan.

Namun dia berjaya mendahului Robertson sepanjang perlumbaan dan apabila masing-masing menghampiri garisan penamat, Canfield yang mempunyai hak laluan memaksa Robertson belayar ke tepi menghalang pasukan WAKA Racing itu dari menamatkan perlumbaan.

Canfield cuba melakukan penalti ketika Robertson cuba menghala semula ke garisan penamat. Namun cubaan Canfield itu dihalang oleh Robertson yang ketika itu sudah hampir semula ke garisan penamat. Namun ketika cubaan menghalang itu beliau pula dikenakan penalti. Kini ianya bergantung kepada siapa dahulu dapat melakukan penalti yang akhirnya memihak kepada Canfield.

Namun beliau gagal untuk memanafaatkan kemenangan tersebut apabila dia melepasi garisan permulaan terlebih awal ketika pra-permulaan memberikan peluang untuk Robertson untuk menyamakan kedudukan.

Canfield kembali mendahului selepas tamatnya perlawanan ketiga tetapi semangat juang yang tinggi Robertson membolehkan beliau menjadikan kedudukan 2-2 yang menyaksikan perlawanan kelima terpaksa diadakan. Kali ini Canfield bermula dengan baik dan tidak langsung memberi peluang untuk Robertson kembali bersaing.

Kemenangan kedua berturut-turut oleh Canfield ini memberikan keyakinan kepada beliau untuk memberi saingan yang lebih hebat di musim hadapan dalam AWMRT. Canfield bersama krew US One membawa pulang wang hadiah berjumlah RM310,000 sebagai johan.