Connect with:




Le Tour de Langkawi (LTDL) edisi ke-24 yang dijadualkan membuka tirai pada 6 hingga 13 April depan telah mengesahkan laluan Cameron Highlands, Pahang yang menjadi salah satu laluan utama pada perlumbaan berprestij itu sebelum ini digugurkan.

Perkara tersebut disahkan oleh jurulatih skuad berbasikal kebangsaan, Mohd. Yusof Abdul Nasir selepas menerima maklumat tersebut daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

“Menurut kenyataan PKBM yang saya terima, laluan Cameron Highlands telah digugurkan dalam senarai, namun perlumbaan akan memasuki kembali Genting Highlands. Dalam kenyataan itu juga PKBM menyatakan bahawa laluan tersebut ialah laluan terbaharu buat masa sekarang.

“Kini latihan skuad kebangsaan lebih tertumpu kepada ujian ketahanan dan kami tidak memulakan latihan lain lagi terutamanya apabila mengetahui Cameron Highlands tidak termasuk dalam laluan perlumbaan.

“Walau bagaimanapun kami tetap akan menjalani latihan di Cameron Highlands bagi latihan berbukit,” katanya dalam laporan Kosmo.

Jurulatih skuad berbasikal kebangsaan, Mohd. Yusof Abdul Nasir.

Turut digugurkan adalah laluan di Pantai Timur yang diketepikan pada perlumbaan kali ini.

Sebagai rekod, sejak LTdL 2010, laluan Cameron Highlands pernah digugurkan sebanyak empat kali iaitu pada 2010, 2012, 2014 dan 2015.

Dalam pada itu, sumber dalaman LTdL 2019 mengesahkan penguguran laluan Cameron Highlands selaku laluan utama disebabkan oleh masalah teknikal.

“Kami akan mengahdiri satu majlis pelancaran LTdL 2019 di Kementerian Belia dan Sukan minggu ini. Kami akan memberi jawapan kepada semua perkara berbangkit termasuk laluan serta penyertaan pasukan dalam Jelajah Dunia pada majlis berkenaan nanti,” kata sumber itu.

Foto : Le Tour de Langkawi