Connect with:




Pernah dengar tentang Calcio Storico? Peraturannya, bergaduh. Ya, sukan ini adalah pertandingan tradisi di Itali yang dianggap sukan paling ganas di dunia.

Calcio Storico bermaksud bola sepak bersejarah merupakan temasya tahunan yang diadakan pada bulan Jun setiap tahun. Pertandingan ini disertai empat pasukan dari empat wilayah di Florence dan menjadi tumpuan peminat sukan lasak dari serata dunia. 

Pemain dibenarkan menumbuk, menendang dan bergelut dengan pihak lawan  untuk menjaringkan gol. Seramai 27 pemain untuk setiap pasukan dibenar untuk menggunakan apa-apa cara untuk membawa bola ke hujung kawasan lawan.

Durasi perlawanan tersebut berlangsung selama 50 minit TANPA REHAT dan jika ada pemain yang tercedera, mereka akan dikeluarkan.

Rata-rata pasukan berlatih sepanjang tahun untuk menyertai pertandingan klasik ini. Setiap pasukan mempunyai empat penjaga gol, tiga pemain pertahanan, lima pemain tengah dan 15 penyerang.

Permainan akan bermula sebaik sahaja pengadil meniup wisel dan pertempuran tercetus dengan setiap pemain menumbuk, menendang dan bergelut untuk merampas bola. 

Seorang pengadil dan enam penjaga garisan akan mengawal keadaan serta mengekalkan perjalanan perlawanan kerana jumlah mereka yang ramai.

Acara tahunan di Itali ini dipercayai dimainkan di Florence sekitar kurun ke-15 dan perlawanan pertama berlangsung pada 1530.

Empat wilayah yang menyertai pertandingan itu adalah Santa Croce (jersi biru), Santa Maria Novella (jersi merah), Santo Spirito (jersi putih) dan San Giovanni (jersi hijau).

Dianggap sebagai salah satu tradsi unik di dunia, padang di hadapan gereja Piazza Santo Croce ditabur dengan tanah dan setiap pasukan akan memakai pakaian ala-ala pemerintahan beraja Itali.

Format pertandingan adalah kalah mati dan dua pasukan yang menang akan bertanding di peringkat akhir.