‘Sudah jatuh, ditimpa tangga’ adalah ungkapan yang sesuai menggambarkan situasi pasukan Kuala Lumpur untuk musim baru Liga Malaysia. Masalah kewangan yang melanda Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) telah mengundang penghijrahan hampir keseluruhan pemain utama mereka musim lalu.

Antara bintang City Boys yang telah meninggalkan pasukan adalah penjaga gol, Norazlan Razali yang memilih untuk ke Selangor, Mohd Shahrom Kalam (Perak), Azlan Zainal (PKNS FC), See Kok Luen (Kedah), Yong Kuong Yong (Felda United) dan beberapa nama lagi yang memilih untuk meninggalkan pasukan ini.

Namun, Kuala Lumpur dilihat tidak menoleh ke belakang malah memilih untuk kekal dalam saingan Liga Super musim ini. Dengan bakat-bakat muda mereka dan campuran pemain-pemain baru, jurulatih, Mohamed Razip Ismail kini perlu membina semula pasukan yang kelihatan tempang dan hampir lumpuh ini.

Tiada kemenangan dalam aksi persahabatan malah kalah lapan dari sepuluh perlawanan menggambarkan situasi kritikal pasukan ini. Pasukan ini bakal dikemudi kapten baru iaitu Mohamed Aslam Haja Najmudeen, 28, pemain yang dibawa dari PKNS FC. Dia dipilih setelah menang undi rahsia yang diadakan baru-baru ini.

Razip mengakui musim ini adalah musim yang sukar buat Kuala Lumpur dan mungkin terpaksa bersaing di kelompok bawah liga untuk terus kekal dalam Liga Super sambil turut mengakui, mungkin ini musim terakhirnya selaku jurulatih Kuala Lumpur.

“Namun, sebelum saya tinggalkan pasukan ini, saya akan pastikan yang semua pemain akan mempamerkan prestasi membanggakan walaupun terpaksa menempuh kesukaran,” ujar Razip yang mengesahkan ada beberapa pasukan mahukan khidmatnya.

Selain itu, Razip mengatakan ada kelebihannya memiliki pasukan muda kerana mereka sentiasa dahagakan kejayaan dan tidak mudah mengaku kalah. Walaubagaimanapun, pasukan ini kelihatan masih kurang kesefahaman dan masih mencari rentak disebabkan kemasukkan ramai pemain baru.

“Ini menjadi cabaran besar buat saya kerana pemain baru belum ada persefahaman yang jitu,” tambahnya lagi yang menyasarkan kedudukan sembilan terbaik liga agar selamat dari penyingkiran.

Sementara itu, Stanley Bernard Samuel,26, yang beraksi untuk Sabah musim lalu mengambil keputusan pulang kepangkuan negeri kelahirannya dimana dia mula mengasah bakat kira-kira lapan tahun lalu, ketika dia berusia 18 tahun.

Sebelum beraksi untuk Sabah, Stanley pernah beraksi untuk kelab SC de Goa di Liga India (I League) dan kemudian menjalani beberapa pemilihan di kelab-kelab Indonesia. Walaupun berjaya mencuri perhatian sebuah kelab di sana, namun disebabkan masalah politik antara Malaysia-Indonesia ketika itu, dia gagal mendapat tempat.

“Pemain tempatan sebelum ini bersaing sesama sendiri untuk menarik perhatian semua. Kini dengan kehadiran pemain import, mereka ada dua pilihan, samaada memberi cabaran kepada pemain import untuk mendapat tempat atau sekadar menjadi penumpang dalam pasukan,” ulas Stanley yang mengakui musim 2012 bakal menarik dengan kehadiran import.

Pengurusan KLFA membayangkan pemain import mungkin akan dibawa masuk menjelang April nanti apabila pendaftaran pemain dibuka semula. Ini pasti akan memberikan sedikit kelegaan buat Razip kerana pemain import yang didaftarkan sebelum ini tidak diluluskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu Jacob Anderson dari Ghana dan Rami Ayo Hassan dari Nigeria.