Connect with:




Penganjur kereta Formula Satu (F1) hari ini mengambil keputusan drastik menghentikan penggunaan gadis litar dalam sebarang urusan perlumbaan termasuk ketika melakukan perarakan atau bersama pelumba di garisan permulaan.

Pengumuman mengenai keputusan dan perubahan itu dibuat menerusi satu kenyataan yang turut menyebutkan pemberhentian penggunaan gadis litar itu juga turut berkuat kuasa ke atas perlumbaan sokongan mulai musim 2018 ini.

Ini bermakna, perlumbaan pembuka tirai F1 2018 iaitu Grand Prix (GP) Australia pada Mac ini akan menjadi titik permulaan terhadap perubahan terbaharu itu.

“Ketika penggunaan gadir litar ini sudah menjadi amalan biasa dalam F1 berdekad lamanya, kami merasakan ia sudah tidak lagi sesuai dengan nilai penjenamaan dan norma-norma kehidupan di zaman moden sekarang.

“Kami tidak percaya amalan ini betul atau masih relevan dengan F1 mahu pun peminat lama atau baharu di seluruh dunia,” kata pengurus komersial F1, Sean Bratches.

Sepantas itu juga, isu ini terus menjadi topik perbualan di media sosial malah disambut baik Badan Amanah Sukan Wanita Britain yang segera memberi respon menerusi twitter.

“Terima kasih @F1 di atas keputusan tidak lagi menggunakan gadis litar. Satu lagi sukan yang membuat pilihan bijak tentang apa yang mereka mahu perjuangkan sebenarnya,” kata mereka.

Buat masa ini sukan berbasikal, tinju profesional dan sukan tempur seperti UFC masih menggunakan gadis seksi ketika pertandingan berlangsung atau pada majlis penyampaian hadiah.

Sementara itu tidak kurang juga ada media yang mempertikaikan keputusan F1 ini seperti akhbar The Sun yang menyifatkan tindakan itu boleh membunuh sukan tersebut dan menjadikannya sukan yang nampak bodoh.

REUTERS

Foto Kredit: http://1.bp.blogspot.com