Peter-James-Butler

Biarpun T-Team mencatat kekalahan tiga kali sepanjang empat perlawanan dalam saingan Liga Super, namun situasi itu
sedikitpun tidak menimbulkan rasa panik pengendali pasukan itu Peter James Butler.

Malahan jurulatih berasal dari England itu tetap yakin dengan kebolehan dan kemampuan anak didiknya bagi mengharungi perlawanan seterusnya, selepas ini. Katanya, meskipun pasukan The Titans dibarisi semua pemain muda dan tiada pemain bertaraf bintang, namun ia bukan alasan untuk pasukannya terus menghuni tangga tercorot liga.

“Pemain kita masih muda dan saya percaya dengan kebolehan mereka. Saya tahu pasukan saya sebuah pasukan yang bagus dan saya sedikit pun tidak terancam bila ditewaskan di peringkat awal dan kami akan bangkit pada perlawanan selepas ini.

“Saya rasa masih terlalu awal untuk peminat dan penyokong setia The Titans menghukum pasukan itu kerana kesemua pemain kita masih baru dan muda. Bagilah mereka sedikit masa untuk menyesuaikan diri selain beberapa tonggak utama
mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menghulurkan sumbangan kepada Rumah Orang Tua Taman Bahagia, Bukit Payung, di sini yang turut disertai pemain, pengurusan kelab serta penaja pasukan itu.

Meskipun mampu mengalahkan pasukan Kelantan sebelum tewas selepas menentang Selangor PKNS, ATM dan Perak, namun itu tidak mematahkan semangat anak didiknya untuk terus bangkit memburu dan memperbaiki carta liga selepas ini.

“Saya telah lama berkecimpung dalam arena bola sepak dan sebagai pasukan baharu, memanglah kita perlukan masa untuk membentuk satu pasukan yang mantap dan saya akan terus berusaha untuk membuktikan pasukan bimbingan saya mampu bersaingan dan digeruni lawan,” katanya.

Sementara itu beliau akan membuat percaturan baharu dan menebus kekecewaan dalam aksi menentang pasukan Lions XII selasa ini dan yakin anak buahnya mampu bangkit dan mengutip tiga mata berharga.

“Saya tahu Singapura satu pasukan yang bagus dan saya hormati pasukan itu tapi saya tidak takut dengan pasukan itu serta yakin anak buah saya mampu membenam ketika melayan kunjungan pasukan itu di laman sendiri,” katanya.
— BERNAMA