Pertelagahan di antara Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan jurulatihnya, Peter Butler akhirnya menemui noktah apabila kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan secara bersama.

Jurulatih kelahiran England itu bersetuju untuk melepaskan jawatannya bersama pasukan Terengganu, sekaligus membolehkan Ketua Jurulatih Sang Penyu yang baru, E Elavarasan melakukan tugasnya tanpa sebarang gangguan.

Kedua-dua pihak tidak mengumumkan berkenaan pampasan yang dipersetujui dalam mesyuarat tersebut tetapi menyatakan keinginan untuk meletakkan kontroversi yang terjadi di belakang mereka dan bergerak ke hadapan dengan halatuju masing-masing.

Butler menegaskan dia hanya berpegang pada prinsipnya dan bukan mengejar pampasan kewangan apabila membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang seterusnya mendapati keputusan yang diambil oleh PBSNT tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh badan induk itu.

Walaupun Butler tidak lagi bersama dengan Terengganu untuk musim 2013 nanti, namun para peminat bolasepak negeri itu akan terus melihat kelibatnya apabila pasukan kelab, PBDKT T-Team telah bersetuju untuk melantiknya sebagai ketua jurulatih mereka yang baru selepas berpisah dengan Yunus Alif selepas tamatnya kempen Liga Malaysia 2012.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri, Program Khas Sukan /PBDKT T-Team, Ab Rashid Jusoh yang turut memberitahu bahawa Butler akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 18 November ini apabila dijangka akan mengendali sesi latihan pasukan itu di padang Kompleks Sukan Gong Badak buat kali pertama.

Butler juga akan dipertanggungjawabkan untuk mencari pemain-pemain yang sesuai untuk bermain untuk pasukan barunya itu dengan pemilihan akan dibuat ke atas pemain-pemain dalam negara dan luar negara yang akan datang untuk cuba menambat hati jurulatih yang berusia 46 tahun itu.

Di antara nama yang disebut akan datang ke Kuala Terengganu ialah George Boateng yang pernah bermain bersama pasukan Belanda dan beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA Inggeris tahun 2000 bersama pasukan Aston Villa serta memenangi Piala Liga bersama pasukan Middlesbrough dalam tahun 2004.

T-Team juga sudah diperkuatkan di barisan pertahanan apabila bekas ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof bersetuju untuk menyertai mereka bersama seorang lagi pemain pertahanan Sang Penyu, Mazlizam Mohamad.

Mereka berdua akan bersama dengan pemain-pemain lain yang dikekalkan di dalam skuad T-Team untuk musim 2013 termasuklah Zairo Anuar Zalani, Faiz Subri, Hasbullah Awang, Norfazly Alias serta penjaga gawang Syamsuri Mustafa dan Iqbal Suhaimi dalam usaha untuk membawa kejayaan kepada pasukan yang kini di bawah pentadbiran satu badan khas kerajaan negeri Terengganu.