Butler Digantung Enam Bulan

 

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memutuskan dalam satu mesyuarat untuk menggantung Ketua Jurulatih pasukan Terengganu, Peter Butler selama enam bulan berkuatkuasa 18 September 2012. Beliau juga turut dikenakan potongan gaji sebanyak 15% untuk sebulan.

Ini berikutan dengan tindakan Butler mengeluarkan kenyataan kepada media berkaitan dengan dua orang pemain pasukan Terengganu iaitu Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi yang dikatakan membawa pulang wanita ke bilik sewaktu perlawanan Piala Malaysia menentang Kedah di Alor Setar pada 28 Ogos.

Penolong Jurulatih, Khalid Mohd Dahan akan memangku tugas sebagai jurulatih sepanjang penggantungan itu berkuat-kuasa.

Forkey Doe Turut Didenda

 

Sementara itu, penyerang Francis Doe pula didenda sebanyak RM2,000 dan dikenakan potongan gaji sebanyak 10% untuk sebulan kerana tindakan beliau menyiku pemain Kedah sewaktu pertemuan Piala Malaysia di antara kedua-dua buah pasukan di Kuala Terengganu pada 1 September yang lalu.

Penyerang Liberia itu turut diberikan amaran keras berkaitan tingkah-lakunya di masa yang akan datang.

Seorang lagi pemain yang diberi amaran keras ialah penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee di atas tindakan beliau membaling botol ke arah Butler selepas ketua jurulatih Sang Penyu itu menggantikan Sharbinee dalam perlawanan yang sama. Penjaga gol itu turut didenda sebanyak RM1,000 oleh PBSNT.

Muslim dan Ismail yang dikatakan membawa pulang wanita ke bilik hotel sewaktu di Alor Setar oleh Butler dibebaskan dari tuduhan tersebut. Namun kedua-duanya didenda RM1,000 seorang beserta amaran keras apabila didapati bersalah kerana keluar tanpa kebenaran dari hotel serta pulang melebihi masa yang ditetapkan untuk mereka berada di bilik.

Semua pihak yang dijatuhkan hukuman diberi tempoh selama seminggu oleh PBSNT untuk mengemukakan sebaranga rayuan berkaitan hukuman masing-masing.