Connect with:




Walaupun tidak semeriah Liga Perdana Inggeris, aksi Bundesliga tidak kurang hebatnya. Jika di England, persaingan kejuaraan antara Liverpool dan Manchester City, di Jerman pula, persaingan antara Bayern Munich dan Borussia Dortmund merebut kejuaraan turut menarik perhatian.

Bayern kini menerajui Bundesliga dengan 67 mata hanya perbezaan satu mata di hadapan Dortmund dalam aksi yang berbaki lima perlawanan. Sebarang kesilapan bakal membawa padah kepada salah satu pasukan. Mari kita lihat rekod kedua-dua kelab gergasi Jerman dalam Bundesliga dan kejohanan eropah yang lain.

 

Bayern Munich

Berada di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Crotia, Niko Kovac, Bayern Munich dilihat lebih ghairah untuk merangkul kejuaraan musim ini selepas mengejar kedudukan Borussia Dortmund yang berada di puncak. Hasil banyak kesilapan yang dilakukan Dortmund, mereka berjaya memintas kedudukan Dortmund untuk berada di puncak liga. Selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara, Bayern hanya memfokuskan kepada liga dan piala yang sudah masuk peringkat separuh akhir.

Bayern menjuarai Bundesliga sebanyak 28 kali dan menang untuk enam tahun terakhir berturut-turut. Selain itu, untuk piala liga, Bayern telah merangkul kejuaraan sebanyak 18 kali. Untuk kejohanan eropah, Bayern telah memenangi Liga Juara-Juara sebanyak lima kali dan Super Cup sekali. Bayern juga telah menjulang kejuaraan hatrik di Liga Juara-Juara pada tahun 1974 sehingga 1976.

 

Borussia Dortmund

Borussia Dortmund satu lagi pasukan yang dianggap gergasi di Bundesliga. Mereka sering mendapat tempat ke Liga Juara-Juara dalam tempoh 10 tahun terakhir ini. Dortmund yang dibimbing oleh Lucien Favre melalui cabaran yang berliku walaupun pada satu masa mereka dilihat sebagai satu pasukan yang akan menjulang kejuaraan Bundesliga selepas meninggalkan Bayern Munich dengan perbezaan mata yang banyak.

Prestasi Dortmund dilihat kurang menyegat pada akhir-akhir ini selepas mereka tewas kepada Bayern dengan jaringan 5-0. Dortmund juga telah tersingkir dari Liga Juara-Juara yang mana tidak ada wakil dari Jerman yang berada di peringkat suku akhir.

Kini Dortmund hanya menumpukan perhatian kepada liga selepas tersingkir dari piala liga. Pencapaian Dortmund untuk kejuaraan Bundesliga adalah sebanyak lapan kali dan menjadi naib juara sebanyak tujuh kali. Bagi piala liga, Dortmund muncul juara sebanyak empat kali dan naib juara sebanyak lima kali.

Dortmund juga berjaya menjadi juara untuk kejohanan eropah seperti Liga Juara-Juara pada tahun 1997. Mereka juga menjadi naib juara dalam kejohanan sama pada musim 12/13 selepas tewas pada aksi final menentang Bayern.

 

Dalam bola sepak, bukan pencapaian yang diukur tetapi prestasi semasa pasukan. Jika sesebuah pasukan mempunyai reputasi yang baik dari masa ke semasa, pasukan itu mungkin berpeluang untuk merangkul kejuaraan. Peluang Bayern Munich dan Borussia Dortmund dilihat sama rata untuk menjulang kejuaraan Bundesliga. Masih ada lima perlawanan yang perlu ditempuhi dan dalam bola sepak, apa-apa bola berlaku.

Foto : Sportskeeda