Pertama kali dalam sejarah petugas media berpeluang merasai sendiri debaran sebagai pemain hoki menerusi Kejohanan Hoki Media Heattone (KHMH) 2018 yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Kejohanan anjuran Kelab Hoki Media (KHM) di Stadium Hoki Kuala Lumpur kali ini mendapat penyertaan hampir 10 pasukan serta mendapat suntikan dana daripada NR Mustajab syarikat barangan kosmetik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MISB Resources, Syed Hidzir Syed Agil Barakbah, antara pasukan dalam organisasi media yang terlibat ialah Utusan Malaysia, Kosmo!, Mediaprima, New Straits Times Press (NSTP), Astro Arena, Bernama dan Dunia Sukan.

“Tajaan ini adalah tanda sokongan kami dalam merealisasikan hasrat peminat hoki terutama dalam kalangan petugas media bagi merasai cabaran dalam sukan ini.

“Selain sukan hoki pihak kami juga dengan menggunakan nama produk Heattone turut menaja beberapa acara sukan lain di peringkat tempatan dalam usaha memeriahkan lagi industri sukan tanah air,” kata Syed Hidzir.

Juara kejohanan akan membawa pulang trofi dan wang tunai RM500 manakala naib juara RM350 dan tempat ketiga RM200.

Kejohanan ini juga turut mendapat sokongan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).