Pasukan pertengahan Liga Super, Selangor turun menentang Sarawak di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan semangat mahu kembali ke landasan kemenangan setelah ditumpaskan Felda United dalam perlawanan sebelum ini. Namun, hasrat itu dihalang Sarawak.

Bermula agak perlahan, 20 minit pertama lebih dikuasai Sarawak dengan beberapa siri percubaan, namun tersasar dari gol. Selangor kemudian kembali tenang dan mula mengatur serangan ke kubu Sarawak. Peluang terbaik Gergasi Merah hadir pada minit ke-32 apabila sepakan percuma pertahanan, Mohd Asraruddin Putra sekadar menggegar palang.

Babak kedua, anak buah Robert Alberts terus ditekan Selangor yang memburu gol, tetapi barisan pertahanan Bujang Senang berjaya menyerap dengan baik setiap gerak serang Selangor, yang dicatur Safiq Rahim, Bunyamin Omar dan Fitri Shazwan.

Minit ke-78, rembatan padu K. Gurusamy dari luar kotak penalti diselamatkan penjaga gol pelawat, Sani Anuar Kamsani. Dalam memburu gol, mujur gawang mereka terselamat pada minit ke-85, apabila rembatan kencang Ramesh Lai Ban Huat sedikit melewati palang berpunca dari sepakan percuma yang ditanduk keluar Ramez Dayoub.

Perlawanan berkesudahan tanpa jaringan dan Sarawak, yang beraksi tanpa beberapa tonggak utama berjaya mencuri satu mata berharga dari pasukan yang dibimbing Irfan Bakti.

Pasukan meningkat naik, Perak bertandang ke Stadium JCorp, Pasir Gudang, untuk menentang tuan rumah Johor FC berjaya memperolehi tiga mata penuh dengan kemenangan 1-0. Seladang bangkit di separuh masa kedua menerusi jaringan pertahanan, Mohd Shahrom Kalam pada minit ke-78.

Kuala Lumpur pula memperolehi mata pertama liga mereka ketika melayan kunjungan PKNS FC di Stadium Hang Jebat, Melaka. Perlawanan berkesudahan seri 1-1 dengan gol PKNS FC dijaringkan oleh penyerang, Mohd Fauzan Dzulkifli minit ke-74, manakala gol Kuala Lumpur pula dijaringkan Mohd Afiq Azmi pada minit ke-81.

Sementara itu, Lions XII yang berkunjung ke Stadium Likas, Kota Kinabalu, untuk menentang Sabah boleh berpuas hati dengan kemenangan tipis 1-0. Gol jaringan pemain tengah, Harris Harun pada minit ke-18 sudah cukup buat Lions XII untuk mengutip tiga mata penuh. Ini kemenangan kedua mereka dan kekalahan kedua buat Sabahawks.

Pertembungan menarik antara abang dan adik di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menyaksikan si abang, Terengganu berjaya mengatasi T-Team 2-1 hasil dua jaringan pemain import mereka, Francis Forke minit ke-20 dan 60 . T-Team terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penalti Zairo Anuar Zalani pada minit ke-13.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan memperolehi mata penuh apabila mengatasi pasukan pelawat, Felda United. Tiga layangan kad merah, dua pada Felda dan satu pada Negeri Sembilan menghiasi perlawanan ini dan jaringan Shahurain Abu Samah pada minit ke-53 memberi kelebihan buat Rusa untuk menang 1-0.

Selain itu, satu aksi Liga Perdana juga berlangsung antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang Sime Darby yang tertangguh semalam. Gol ATM dijaringkan melalui tandukan Hairuddin Omar pada minit ke-9, manakala Sime Darby bangkit untuk menang 2-1 menerusi dua gol pemain import mereka, Sengbah Kennedy pada minit ke-24 dan Patrick Wleh (40’).

Dengan keputusan itu, lebur sudah rekod tanpa kalah dan bolos ATM di tangan Sime Darby di Stadium MP Selayang. Kegagalan ATM itu membolehkan Pahang terus kekal ditangga teratas Liga Perdana dengan 10 mata apabila mencatat keputusan seri semalam.

Kedudukan teratas Liga Super yang sebelum ini menyaksikan dominasi pasukan Pantai Timur iaitu Kelantan, T-Team dan Terengganu, kini sudah dipecahkan Perak apabila naik ke kedudukan ketiga mengatasi T-Team dengan perbezaan dua mata. Kelantan kekal menerajui liga setelah menumbangkan Kedah 3-0 dalam aksi yang berlangsung pada hari Jumaat.