Connect with:




AFP

Pemain remaja Liverpool, Rhian Brewster mendakwa dirinya menjadi mangsa dalam isu perkauman oleh pemain  Spartak Moscow pada perlawanan lepas.

Liverpool telah mengemukakan surat aduan terhadap kelab Russia itu kepada UEFA hari ini.

Brewster yang bermain untuk England telah membantu kumpulannya dalam memenangi Piala Dunia Bawah-17 Tahun Oktober lalu, meluahkan rasa tidak puas hati tentang isu perkauman yang tidak pernah diam dalam arena bola sepak.

Brewster kelihatan marah pada penghujung perlawanan  Liga Remaja UEFA akibat cemuhan yang dilemparkan kepadanya dan terpaksa ditahan oleh rakan sepasukannya serta staf kejurulatihan Reds.

Liverpool pernah membuat aduan sama dalam perlawanan menentang Spartak, Bobby Adekanye turut berdepan masalah serupa dengan kelab Rusia itu sewaktu perlawanan timbal balik pada September.

Spartak didapati bersalah dan diarahkan menutup sebahagian padang akademi mereka untuk satu perlawanan.

Isu perkauman dalam arena bola sepak merupakan satu masalah yang perlu dielakkan kerana tindakan seperti ini sedikit sebanyak membantutkan prestasi pemain dalam perlawanan.

Berikut merupakan isu perkauman yang pernah berlaku dalam arena bola sepak antarabangsa :

Paolo Di Canio

Di Canio pernah terpalit dalam pelbagai isu dalam arena bola sepak antaranya menolak pengadil sebagai tanda tidak puas hati malah menyerang rakan sepasukannya sendiri dan beliau juga turut terlibat dalam isu perkauman.

Ini terjadi dalam tiga perlawanan yang disertai beliau semasa mewakili Lazio di mana ketika itu Lazio bertemu Juventus, Livorno dan juga Roma. Di Canio telah membuat gaya Nazi ‘Heil Hitler’ sewaktu beraksi dalam pertemuan ini dan menyebabkan beliau digantung perlawanan.

Samuel Eto’o

Samuel Eto’o telah diejek oleh para penyokong Real Zaragoza dengan bunyi monyet setiap kali beliau memegang bola dan juga membaling kacang kepadanya dalam perlawanan antara Barcelona dan Real Zaragoza pada Febuari 2005.

Setahun kemudian, Eto’o hampir melangkah keluar dari padang sebagai tanda protes kerana beliau sudah tidak tahan dengan penghinaan yang diterima.

Luiz Suarez

Luiz Suarez telah menyampaikan kata-kata berunsur perkauman kepada pemain pertahanan United iaitu Patrice Evra ketika itu Liverpool bertemu Manchester United di Anfield pada Oktober 2011. Dakwaan Evra terhadap Suarez telah menyebabkan Suarez didenda 90,000 euro dan digantung sebanyak 8 perlawanan.

 Dani Alves

Ketika Dani Alves mahu mengambil sepakan sudut dalm pertemuan antara Barcelona dan Villareal, , penyokong Villareal telah mencampak pisang ke arah Alves sebagai tanda ejekan berbaur perkauman di mana ia membawa simbolik orang berkulit hitam adalah seperti monyet.

Namun begitu, Alves telah mengambil pisang tersebut dan memakannya sedikit dan terus mengambil sepakan sudut. Walaubagaimanapun, tindakan penyokong Villareal ini telah menyebabkan Villareal didenda 15,000 euro.

Kevin Prince Boateng

Ketika AC Milan membuat perlawanan persahabatan pra-musim dengan kelab Pro Patria, Kevin Prince Boateng yang mewakili AC Milan sedang menggelecek bola ke arah gol lawan. Pada saat itulah, beliau terdengar penyokong Pro Patria melakukan ejekan berbaur perkauman terhadapnya.

Susulan dari itu, Boateng mengambil bola dan terus menyepak bola ke arah penyokong-penyokong yang mengejeknya tadi. Kemudian, Boateng terus keluar padang dan tidak mahu meneruskan permainannya lagi.

 

Foto Kredit : Twitter (@RhianBrewster9)