Dua pemain import, Brendan Gan dan Michael Baird dilaporkan bakal ditamatkan kontrak oleh pasukannya iaitu Sabah.

Perkhabaran yang kurang menyenangkan ini mengundang rasa tidak puas hati peminat lalu menghubungi Dunia Sukan untuk meluahkan perasaan.

Peminat ini berpendapat kedua-dua import ini terutamanya Brendan telah beraksi dengan sangat baik terutama dalam perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya baru-baru ini.

“Alasan penamatan kontrak mereka adalah kononnya masalah disiplin kerana tidak menghadiri sesi latihan sedangkan Brendan Gan memang mengalami kecederaan hamstring manakala Michael mengalami masalah lutut. Kecederaan mereka tidaklah serius mana dan mereka masih boleh beraksi.

“Keputusan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan memang tidak logik kerana ‘work rate’ yang dilakukan setiap selepas perlawanan melalui pemain dan jurulatih pasukan sering memberi kelebihan kepada Michael dan Brendan. Entah mengapa, jurulatih Justin Ganai melaporkan ‘work rate’ mereka agak rendah berbanding pemain tempatan”.

Mengikut pemerhatian yang dijalankan di beberapa laman kumpulan penyokong Sabah di Facebook, rata-rata memang tidak bersetuju dengan tindakan Jawatankuasa tersebut. Penyokong agak kecewa dengan tindakan tersebut dan ada yang menyatakan akan mogok dan memulaukan perlawanan di Stadium Likas jika Sabah FA meneruskan keputusan mereka.

Mengikut kata peminat tersebut, “Kenapa keputusan drastik ini diambil tanpa mengeluarkan amaran bertulis kepada mereka berdua terlebih dahulu? Ternyata ada konspirasi yg terselindung dalam keputusan Jawatankuasa tersebut. Sekarang pasukan Sabah sedang meningkat, kenapa harus bertindak sebegini?”.

Dikhabarkan juga kem yang menyingkirkan kedua-dua pemain import ini sudah mempunyai dua calon mereka sendiri untuk diketengahkan.

Peminat ini juga berharap pihak-pihak yang berkenaan segera menghentikan agenda-agenda tersembunyi yang tidak membawa sebarang kebaikan kepada pasukan malahan akan membuat penyokong marah.