Dua tahun lalu, Faizul Nasir berdepan laluan penuh berliku sebelum berjaya memenangi emas Sukan SEA di Singapura. Apa tidaknya, sudahlah mata lebam dan koyak akibat ditumbuk pesilat Vietnam pada separuh akhir, kemudian pada aksi final, dikejarkan pula ke hospital kerana pihak lawan dari Thailand membuat pukulan di luar peraturan.

Namun itulah yang membuatkan kejayaan di Singapura dua tahun lalu cukup manis untuk dikenang. Bagaimanapun pesilat dari Selangor yang lebih mesra dipanggil Boy ini sedar sekarang bulan lagi masa untuk mengenang kenangan tersebut.

Ini kerana pada Sukan SEA di Kuala Lumpur nanti, walaupun tanpa kelibat finalis di Singapura, misi untuk mempertahankan pingat emas Putera B ini lebih sukar dengan kehadiran juara dunia dari Indonesia, Galang Tri Widya Putra.

“Meskipun dia (Galang) merupakan pesilat baharu dari skuad Indonesia, dia telah menunjukkan prestasi yang cukup hebat. Dia antara pencabar utama untuk Sukan SEA nanti”.

Galang menewaskannya pada Kejohanan Dunia di Bali tahun lalu namun pesilat negara ini membalas dendam kekalahannya apabila menumpaskan lawannya itu di Terbuka Belgium, baru-baru ini. Rekod ketika ini 1-1, dan dijangka perseteruan ini akan diteruskan pada Sukan SEA di Kuala Lumpur kelak.

 

 

Sebagai persiapan, Boy mengikuti latihan skuad silat kebangsaan selama hampir 3 minggu di Vietnam, bermula 19 Jun lepas hingga 9 Julai.

“Agak sedih tidak dapat beraya bersama keluarga apatah lagi saya baharu sahaja melangsungkan perkahwinan pada Februari lalu.

“Ini adalah pengorbanan sebagai atlet negara. Bagi saya, temasya kali ini perlu beri segala-galanya kerana kami akan bertanding di laman sendiri” jelasnya.

Banyak lagi perkara yang dikongsikan Olahragawan Selangor 2016 ini kepada Dunia Sukan seperti bagaimana kariernya bermula, silat dalam sukan MMA, jati diri seorang pesilat, pahit manis dalam karier persilatannya dan banyak lagi. Semuanya boleh didapatkan menerusi majalah Dunia Sukan edisi Julai yang kini sudah berada di pasaran.

Anda boleh dapatkan majalah ini di rangkaian kedia buku terpilih di MPH, Borders, Kinokuniya dan banyak lagi atau dapatkan menerusi talian dengan menghubungi talian 03-7832 5281.