Connect with:




 

Sepanjang perlumbaan Formula One yang berlangsung pada musim lepas, nama Valterri Bottas jarang menjadi bualan peminat lumba kereta paling berprestij itu.

Malah, pelumba dari Finland ini jauh ketinggalan dari rakan sepasukannya, Lewis Hamilton yang berjaya mencipta kegemilangannya sebelum ini dengan menaiki podium sebanyak 11 pusingan.

Namun, siapa sangka perlumbaan pembuka tirai musim baharu ini menyaksikan Bottas muncul juara di Grand Prix Australia, mengatasi Hamilton yang meruapakan juara dunia lima kali F1.

Bottas mengatasi Hamilton dengan 20.886 saat, dengan catatan masa 1 jam 25 minit 27.325 saat dalam perlumbaan 58 pusingan itu.

Biarpun mengakui dirinya sentiasa dibayangi Hamilton, keazamannya untuk mengubah kedudukan itu terbukti apabila dia berjaya memintas pelumba Britain itu pada selekoh pertama dan tidak menoleh ke belakang lagi setelah berada di belakang Hamilton pada petak kedua perlumbaan.

Jelas sekali, Bottas sentiasa berada di depan sepanjang pelumbaan bagi memastikan dominasi pasukan Mercedes AMG Petronas, yang merupakan juara dua tahun berturut-turut F1.

Sejurus jurutera dan pasukan mengucapkan tahniah kepada pelumba berusia 30 tahun ini, Bottas tampak berpuas hati dan berkata: “Kepada sesiapa yang terasa, anda tidak berguna.”

Kata-kata itu sudah pasti ditujukan kepada orang ramai yang sentiasa mengkritik ketika prestasinya  yang merudum selepas bertukar pasukan kepada Mercedes pada 2017.

“Jelas sekali terdapat ramai orang yang menyokong anda, dan dengan jujur ​​saya menghargai banyak perkara.

“Biasalah hidup ada naik dan turun, dan anda dapat melihat sokongan sebenar dengan mudah.

“Bila kita berada dalam masa sukar, banyak perkara negatif akan hadir, ramai yang akan mengkritik kita,” katanya.

Justeru, dia turut memberitahu kejayaan semalam didorong daripada usahanya untuk menyelami jiwa sendiri sepanjang musim rehat F1, dengan melibatkan diri dalam beberapa perlumbaan rali dan sesi santai bersama rakan-rakannya.

Dalam perkembangan sama, Max Verstappen dari pasukan Red Bull menyandang tempat ketiga manakala Sebastian Vettel dari Ferrari menamatkan perlumbaan di tempat keempat, walaupun muncul jentera terpantas semasa peringkat ujian.

Siapa disebalik Valteri Bottas?

Selepas melakar kejayaan manis pada musim 2014, Bottas menggariskan potensinya untuk menjadi juara dunia di masa hadapan.

Difahamkan, dia berjaya menaiki sebanyak enam kali podium pada 2014, manakala rakan sepasukannya pada ketika itu iaitu Felipe Massa, hanya menaiki podium sebanyak tiga kali sepanjang musim tersebut.

Dia yang berada dalam pasukan William ketika itu turut menambah dua lagi kemenangan peribadi sekaligus menepis Massa dengan menamatkan kejuaraan kelima dalam kejohanan yang disertai.

Bottas sememangnya konsisten dan sentiasa mempamerkan aksi terbaik. Maka, tidak hairanlah pasukan yang lebih besar berminat untuk menggunakan khidmatnya. Tetapi disebabkan perwatakannya yang kurang menyerlah, ia membuatkan pasukan lain untuk tidak menghubunginya.

Musim 2016 pula menyaksikan pelumba ini sekali lagi melakar musim yang menakjubkan apabila dia berjaya beberapa podium selain menewaskan Massa dalam perlumbaan sebanyak tiga kali berturut-turut.

Tanpa diduga, selepas Nico Rosberg memenangi kejohanan F1 2016 di Grand Prix Abu Dhabi, dia membuat keputusan drastik apabila ingin meninggalkan pasukannya yang pada ketika itu merupakan pasukan Mercedes.

Setelah perbincangan dilakukan, akhirnya Mercedes sebulat suara memilih Bottas sebagai pengganti sekaligus menjadi rakan sepasukan kepada juara dunia tiga kali iaitu Lewis Hamilton semasa musim F1 2017.

Mampukah Bottas terus konsisten dalam melakar kemenangan pada musim ini? Adakah tahun ini adalah tahun Bottas? Ianya akan menjadi satu fakta menarik untuk kita lihat nanti.