Boon Siew Honda Sdn Bhd menyatakan akan berhabis-habisan mengejar kejuaraan perlumbaan Motosikal Asia  serta mengumumkan penjenamaan semula pasukan mereka kepada Musashi Boon Siew Honda Racing Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Boon Siew Honda Racing Malaysia.

Pasukan ini turut memperkenalkan barisan empat pelumbanya yang bakal mengambil bahagian dalam Kejohanan PETRONAS Asia Road Racing 2012 iaitu Azlan Shah Kamaruzaman, Md Emir Firdaus Hasan dan Md Zaqhwan Zaidi dan bakal disertai pelumba terkenal, Ryuichi Kiyonari.

Kiyonari yang berusia 30 tahun sudah terkenal di Eropah sebagai pemegang rekod tiga kejuaraan Bristish Superbike (BSB). Selain daripada pencapaiannya dalam BSB, Kiyonari juga pernah membuat penampilan dalam MotoGP dan Kejohanan Superbike Dunia.

Dalam usaha memburu kejuaraan Supersports 600cc, Boon Siew Honda Sdn Bhd akan menghantar ketiga-tiga pelumba Malaysia ke Suzuka Endurance Road Race di mana Azlan akan bertanding dalam acara lapan jam sementara Emir dan Zaqhwan akan mempertahanankan kejuaraan pasukan dalam acara empat jam. Selain itu, mereka juga bakal dihantar ke pusingan kelayakan Kejuaaan All Japan untuk pendedahan tambahan.

“Kejuaraan Supersports 600cc dalam Kejohanan PETRONAS Asia Road Racing dan menang kedua-dua acara di Suzuka Endurances Race akan menjadi misi utama kami.

“Kedua-duanya amat penting kerana Suzuka adalah perlumbaan jalan raya lasak yang paling berprestij di dunia disamping PETRONAS Asia Road Racing pula sudah semakin meningkat dan menjadi tempat latihan yang paling releven dan efektif buat bakal pelumba Asia,” ujar Pengarah Boon Siew Honda Motorsports, Tan Hui Jing.

“Pasukan ini memiliki kekuatan yang baik tahun ini, dan kami berharap akan mencapai kejayaan dalam semua kejohanan yang kami sertai.

“Kami berbangga menyambut kehadiran Ryuichi Kiyonari ke dalam pasukan. Beliau telah menakluk kejohanan di Eropah untuk beberapa tahun dan kini dia bertekad mahu menawan Asia. Kami amat berharap pelumba kami dapat belajar sebanyak mungkin dengan pelumba bertaraf dunia ini,” tambahnya lagi.