Usain Bolt memberikan kata perangsang kepada Justin Gatlin selepas muncul juara dalam acara 100m di Kejohanan Olahraga Dunia.

Bintang kontroversi Amerika Syarikat itu mengejutkan pelbagai pihak apabila menjadi juara dengan catatan masa 9.92s dengan mengatasai rakan senegaranya, Christian Coleman di kedudukan kedua manakala Bolt di tempat ketiga.

Kejohanan tersebut menyaksikan Bolt menjadi pilihan utama bagi merangkul kejuaraan sebelum bersara namun Gatlin memberikan kejutan dengan menjadi pelumba pertama yang sampai ke garisan penamat.

Keputusan itu amat mengecewakan penyokong yang hadir.

Atlet yang berusia 35 tahun itu disyaki bersalah kerana menggunakan bahan terlarang sebanyak dua kali dan menjadi mangsa kecaman penonton di Stadium London.

Bagaimanapun, Gatlin mendedahkan bahawa Bolt tidak sama dengan penyokong yang hadir kerana Bolt banyak memberikan kata-kata pujian kepada dirinya selepas tamat perlumbaan tersebut.

“Bolt berkata kepada saya: Tahniah kerana awak berjaya merangkul kejuaraan pada hari ini dan awak tidak layak untuk dicemuh sebegini,” kata Gatlin.

Atlet daripada AS itu memberitahu, Bolt sempat meluangkan masa bersama dirinya untuk mengucapkan tahniah meskipun bintang Jamaica itu sedikit kecewa kerana kecundang untuk menamatkan kariernya dengan merangkul pingat emas terakhir.