Connect with:




Akibat daripada perbincangan kontrak menemui jalan buntu, jaguh pecut Olimpik, Usain Bolt terpaksa melupakan impian untuk bergelar pemain bola sepak profesional bersama kelab Australia, Central Coast Mariners.

Bolt yang merupakan juara Olimpik lapan kali menjalani ujian pemilihan bersama pasukan A-Leauge untuk tempoh yang belum dipastikan sejak Ogos lalu bagi memenuhi cita-cita beliau semenjak kecil untuk bergelar pemain bola sepak profesional.

Bekas pelari pecut Jamaica itu berjaya mencuri perhatian peminat bola sepak seluruh dunia apabila berjaya meledak dua gol ketika aksi persahabatan pramusim bersama Mariners.

Namun begitu, ada pengkritik bola sepak di Australia mempertikaikan kemampuan beliau dan kelab berkenaan hanya menawarkan sebahagian kecil daripada gaji yang diminta AS$2.1 juta (RM8.77 juta), dan pihak pengurusan Bolt terpaksa mencari penaja dari luar.

“Sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, kelab dan wakil Bolt, Ricky Sims, mengadakan perbincangan dengan rakan kongsi dalam bagi mencari jalan penyelesaian secara komersial yang memberi kebaikan kepada semua pihak.

“Meskipun ada beberapa rakan kongsi yang berpotensi, kedua-dua Bolt dan Central Coast Mariners membuat kesimpulan bahawa mereka tidak menemui kata sepakat yang sesuai buat masa sekarang,” kata Mariners menerusi satu kenyataan.

The Lightning Bolt yang memegang rekod dunia 100 meter bersara dari arena balapan tahun lalu dan telah menjalani sesi pemilihan di Jerman, Afrika Selatan dan Norway mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Mariners kerana memberi kesempatan buat dirinya.

“Terima kasih buat pengurusan dan pemilik Central Coast Mariners, staf, pemain serta penyokong kerana menerima kehadiran saya.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan ini,” kata Bolt yang kini berada di Melbourne dan bakal berangkat ke Eropah.

Baru-baru ini Bolt ada menerima satu tawaran tanpa pemilihan bersama juara Liga Malta, Vallette namun menolak kerana mahu menarik perhatian kelab utama liga Australia.

 

Foto : AFP

Sumber : The Guardian