YB Khairy Jamaluddin, merupakan bekas Timbalan Presiden FAM(2007-2010) dan merupakan pengasas pasukan MyTeam(bersama Jason Lo).

Krew Dunia Sukan telah mendapat peluang untuk menemubual beliau untuk mendapatkan pendapat beliau tentang prestasi bola sepak negara, bertempat di pejabatnya di Bukit Damansara. Sama-sama kita ikuti temu bual berikut.

BOLA SEPAK MALAYSIA SECARA UMUM

Dunia Sukan (DS) : Apakah yang dapat Yang Berhormat boleh perkatakan mengenai prestasi terkini pasukan kebangsaan, dan bola sepak Malaysia secara keseluruhan?

YB Khairy Jamaluddin (KJ) : Kalau kita lihat dengan mata kasar, sudah tentu ada perubahan yang besar dengan kemenangan Sukan SEA serta Piala AFF. Jika dilihat di rantau Asia Tenggara, kita boleh dikatakan sebagai kuasa besar. Kalau suatu ketika dahulu, pasukan seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan mungkin juga Vietnam sering dianggap sebagai kuasa besar, tetapi sekarang ini kekuatan pasukan kitatelah terbukti selepas kita menang Sukan SEA dua kali berturut-turut selain daripada memenangi Piala AFF 2010.

Sekiranya kita dapat mempertahankan Piala AFF pada tahun 2012, memang tidak akan ada pertikaian yang akan timbul mengenai kekuatan bola sepak negara. Tetapi bagi bagi saya, kita seharusnya berpijak di bumi yang nyata. Kita ambil contoh yang paling mudah. Kita telah tewaskan pasukan Indonesia sebanyak dua kali di Stadium Gelora Bung Karno pada edisi Sukan SEA yang lepas.

Selepas itu, kita pulang ke tanah air bagi menghadapi pasukan Syria dan Bahrain bagi kelayakan Olimpik. Pasukan yang sama, walaupun mereka agak keletihan selepas bermain di Sukan SEA. Kita sendiri tahu apa keputusannya.

Apa yang saya cuba sampaikan disini ialah, kita seharusnya meletakkan penanda aras yang lebih tinggi, bukan lagi penanda aras di peringkat Asia Tenggara. Seperti yang kita dapat lihat, pasukan kita merupakan juara Asia Tenggara, tetapi masih belum mampu menewaskan pasukan seperti Syria dan Bahrain. Negara-negara yang mengalami masalah kestabilan politik. Penanda aras baru seharusnya diletakkan.  Sebagai contoh, pasukan daripada Asia Barat, dan Asia Timur seperti pasukan Jepun, Korea dan China. Inilah  cabaran baru kita, bukan lagi pasukan di Asia Tenggara.

Melalui pemerhatian saya sepanjang 3 tahun ini, banyak peningkatan yang dapat dilihat. Tetapi kita masih lagi di dalam kelompok yang sama, ranking yang tidak banyak berganjak. Perkara yang paling penting adalah pendirian saya sejak memegang jawatan Timbalan Presiden FAM suatu ketika dahulu sehingga hari ini, iaitu apa yang kita telah lakukan pada 5 tahun kebelakangan ini untuk menjadi juara Asia Tenggara, hanya “ibarat luka yang timpal dengan plaster”.

Punca “penyakit” di dalam bola sepak negara kita masih belum kita ubati. Puncanya adalah pembangunan bola sepak. Pembangunan bola sepak di negara kita masih di tahap yang rendah. Dari segi pengurusan FAM, semuanya tidak ada masalah. Tapi dari segi pembangunan, “penyakit” ini masih belum dapat kita ubati sejak waktu saya memegang jawatan Timbalan Presiden FAM, sehingga hari ini masih lagi menjadi masalah utama bola sepak negara.

DS : Ahli politik dikatakan tidak lagi relevan bagi memegang tampuk kepimpinan tertinggi persatuan sukan. Minta YB komen sedikit mengenai perkara ini.

KJ : Pandangan ini sering dikemukakan oleh para peminat. Bagi saya, apabila sesuatu persatuan itu berjaya tidak pula mereka mengatakan tentang perkara ini. Sebagai contoh, semua Persatuan Bola Sepak Negeri dipimpin oleh ahli politik. Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan(PBNS) yang dipimpin YAB Menteri Besar, berjaya memenangi Piala Malaysia, dan Piala FA. Tidak ada jadi masalah.

Apabila sesuatu persatuan itu mengalami masalah atau tidak ada kejayaan, barulah mereka mengatakan bahawa ahli politik yang menjadi punca. Saya setuju dengan kenyataan “Sukan tidak boleh dipolitikkan”. Tetapi jangan pula kita anggap ahli politik tidak boleh menerajui persatuan sukan. Kadang-kadang, mereka yang bukan ahli politik ini lebih teruk berpolitik berbanding ahli politik ketika menerajui persatuan sukan.

Ada juga ahli politik yang sudah terdedah dengan arena politik negara, tidak berpolitik ketika memimpin persatuan sukan. Ada “pro & kontra” apabila ahli politik menerajui persatuan sukan. Ada juga “pro & kontra” apabila Raja atau Sultan memegang kepimpinan tertinggi.

Tetapi berdasarkan pengalaman saya bersama FAM yang diterajui oleh DYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah, baginda merupakan seorang pemimpin yang baik. Ada masa bola sepak mengalami zaman kejatuhan dan ada juga kebangkitan. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kesimpulan bahawa peneraju FAM tidak menjalankan kerja dengan baik ketika kita mengalami zaman kejatuhan. Ini bergantung kepada perancangan dan pelaksanaan dasar FAM, bukan seorang sahaja yang salah, tetapi mungkin semua. Tetapi hari ini dapat kita lihat peningkatan daripada sukan bola sepak. Jadi, kita perlu bagi peluang kepada mereka dan jangan kita hanya buat satu kenyataan umum yang menyatakan bahawa ahli politik tidak relevan.

Kadang-kadang, ahli politik ada pengaruh. Sekiranya ahli politik atau raja ada di situ, maka senang dapat penajaan. Ada yang kata, biarlah persatuan sukan ini dipimpin oleh bekas-bekas atlet. Boleh, tidak ada masalah. Tetapi saya lebih suka dengan gandingan di antara bekas atlet dan pemimpin masyarakat sama ada ahli politik mahupun raja. Sebab kalau hanya dipimpin oleh bekas atlet sahaja, susah untuk mereka mencari penajaan.

Di Malaysia, kita seharusnya menerima hakikat bahawa penaja-penaja ini jika tidak ada seorang peneraju yang berpengaruh, susah untuk mereka beri penajaan. Sebagai contoh kita lihat pada FAM, sekiranya tidak ada DYMM Sultan, mana mungkin kita akan dapat penajaan daripada Astro, Telekom Malaysia dan sebagainya. Mereka lebih suka menaja Liga Inggeris berbanding Liga Malaysia. Tetapi kerana adanya DYMM Sultan, mereka berasa hormat pada peneraju FAM dan mereka akan beri penajaan. Setakat ini, penajaan mereka telah membuahkan hasil dengan kejayaan yang telah diraih oleh pasukan kebangsaan kita.

Dunia Sukan : Pendapat YB mengenai keputusan FAM untuk membenarkan semula kemasukan pemain import?

KJ : Mengenai perkara ini, ada pro dan kontranya. Semasa saya menjadi Timbalan Presiden dulu, saya yang membuat keputusan agar menghentikan pengambilan pemain import buat seketika pada waktu itu, sebab terlalu banyak tekanan kewangan dan banyak negeri yang tidak dapat bayar gaji pemain import.

Apabila pemain import masuk ke dalam liga tempatan, sekaligus memberi kesan terhadap tangga gaji pemain yang lain. “Market price” mereka terlalu tinggi, sebab itu saya nak kurangkan tekanan gaji sebab pada waktu itu ada yang dapat sampai RM20-30 ribu sebulan. Disebabkan itu, kita ambil peluang ini selama 2-3 tahun untuk memberhentikan pemgambilan pemain import.

Tetapi secara keseluruhannya, saya berpendapat pemain-pemain import ini bagus bergantung pada kualiti. Tetapi pada masa itu, ada juga saya lihat ada sesetengah negeri yang mengambil pemain import sekadar ‘tangkap muat’ sahaja, sekadar ingin memenuhkan kuota pemin import dan
tidak memberi sebarang nilai tambah terhadap pasukan. Pemain tersebut mungkin seorang penyerang dan menjaringkan banyak gol, tetapi tidak memberi sebarang input kepada pemain-pemain di sekelilingnya. Tugas pemain import selain menjadi kelebihan kepada sesuatu pasukan, mereka juga perlu memberi nilai tambah dari segi kemahiran kepada pemain yang bermain bersamanya.

Sebagai contoh pemain import yang baik ialah Marlon Alex James dan Nelson Sam yang kedua-duanya suatu ketika dahulu bersama pasukan Kedah dan mereka memberi nilai tambah kepada pemain yang lain. Apabila pemain seperti Khyril Muhymeen dan Bunyamin Umar bermain dengan mereka, kita dapat lihat peningkatan dengan cara permainan yang berbeza. Tetapi ada juga pemain import sesetengah negeri yang langsung tidak memberi nilai tambah kepada pasukan.

Ikuti sambungan interbiu bersama YB Khairy Jamaluddin dalam siri akan datang. Artikel penuh akan dimuatkan di dalam e-majalah edisi ketiga yang dikeluarkan pada 1 Februari.

Antara isu menarik adalah penglibatan sektor korporat, penswastaan liga dan kelab, pembangunan bolasepak dan pengalaman bersama FAM