Connect with:




Ahad lepas menyaksikan acara UFC237 yang ditunggu-tunggu peminat MMA menerima kejutan kekalahan penyandang kejuaraan dunia Strawweight wanita, Rose Namajunas kepada Jessica Andrade.

Rose menjadi pilihan awal para pemerhati berbanding Andrade kerana memiliki kelebihan dari segi ketinggian.

Pada pusingan pertama, jelas Andrade berdepan kesukaran untuk menyaingi Rose yang sentiasa memberi tumbukan padu tepat ke muka lawannya itu.

Dengan penguasan yang ditunjukkan oleh Rose, Andrade jelas perlu mencari strategi yang lain. Dia tidak boleh berdepan lawannya menerusi tumbukan kerana jelas dalam pusingan pertama, Rose sangat berkelebihan dalam pertarungan sedemikian.

Strategi Andrade untuk beraksi lebih rapat jelas berkesan apabila dia berjaya mengunci secara berdiri Rose sebelum membuat bodyslam yang cukup dahsyat pada pusingan kedua.

Bagi mereka yang menyaksikan pertarungan tersebut, apa yang berlaku kepada Rose adalah cukup mengerikan. Kelihatan Rose seperti patah tengkuk selepas dihumban ke tanah oleh Andrade.

Mujur Rose tidak mengalami kecederaan serius dalam aksi tersebut malah masih boleh memberi ucapan kepada para penonton yang hadir di Jeunesse Arena, Rio De Janeiro.

Foto Kredit: Getty Images / Buda Mendes