Connect with:




Kebiasaanya pasukan-pasukan bola sepak sosial tertubuh diatas dasar komuniti namun bagi pasukan Budak Nakal Manchester Football Club (BNMFC), mereka mempunyai kisah tersendiri apabila pasukan ini diilhamkan oleh sekumpulan pelajar Malaysia yang menuntut di Manchester, United Kingdom (UK) suatu ketika dahulu.

Menurut Iezzat Khalis Mohd Nor, kelab bola sepak ini bermula apabila 8 pelajar Malaysia di pelbagai universiti sekitar Manchester mengambil keputusan mengekalkan pasukan ini di tanah air apabila telah menyertai banyak kejohanan di UK.

“Kami menubuhkan secara suka-suka untuk menyertai kejohanan UK & Eire Malaysian Games yang banyak diadakan seluruh negara United Kingdom seperti Nottingham Malaysian Games, Manchester Malaysian Games, Birmingham Malaysian Games dan banyak lagi anjuran persatuan pelajar kita di sana sekitar 2010. Setelah kembali ke Malaysia pada 2012, kami merasakan pasukan ini mempunyai potensi untuk menyertai komuniti bola sepak sosial yang banyak diadakan sekitar Lembah Klang ini,” ujar pengerusi kelab BNMFC ini.

Tambah beliau, nama pasukan pada asalnya ialah Budak Nakal Manchester FC namun telah disingkatkan menjadi BNMFC bagi mengelakkan kontroversi dalam arus perdana liga bola sepak sosial ini.

AKTIF DI SEKITAR LEMBAH KLANG

Setelah pulang dan menapak di liga sosial Tempatan, pasukan yang diberi jolokan ‘The Bees’ ini terus mencipta nama sekitar kejohanan di Lembah Klang. Menurut Muhammad Alif Rahman, antara kejohanan yang dimenangi mereka ialah Johan Liga KC 2013, Naib Johan Liga KC 2014, dan tempat ke-4 Klang Valley League Divisyen 1.

‘’Kebanyakan daripada kami berasal dari Lembah Klang tetapi lebih aktif di kawasan Damansara. Pemain-pemain dan pengurusan kami datang dari pelbagai latar belakang pekerjaan dan sektor seperti jurutera, perbankan, pegawai tadbir diplomatik, industri pembuatan, perubatan dan pembinaan,” ujar bekas graduan Manchester School of Art,UK dan juga Pengurus BNMFC I itu.

Selain itu, setakat ini pasukan telah mempunyai 70 orang pemain dan dibahagikan kepada dua pasukan iaitu BNMFC I dan BMNFC II. Dua pasukan tersebut aktif ketika ini didalam liga sekitar Lembah Klang seperti KVL Divisyen 1 dan Ryders League Cup.


Baca artikel penuh mengenai BNMFC di e-majalah Dunia Sukan edisi 68 secara percuma. Muat turun e-majalah Dunia Sukan di laman web atau di applikasi pintar Dunia Sukan (Klik sini untuk Google Play & klik sini untuk App Store).