BMW Group Malaysia minggu ini telah mengumumkan komitmennya untuk menyokong Pasukan Kebangsaan Malaysia dalam acara Luncur Ais Berbunga dan Luncur Ais Laju Jarak Pendek daripada Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) dalam usaha mereka untuk layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018. 

Komitmen pengeluar kenderaan premium itu dengan pihak ISAM bermula pada Sukan Asia Tenggara (SEA) KL 2017 ke-29 yang bakal berlangsung tidak lama lagi. 

Pasukan Kebangsaan Malaysia mahu membawa pulang pingat emas untuk sukan luncur ais berbunga dan luncur ais laju jarak pendek.

Berucap pada majlis tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia Han Sang Yun berkata, “Sebagai sebuah jenama, kami sentiasa percaya untuk menyokong inisiatif sukan kerana ia berpotensi untuk memberi inspirasi, mencabar had upaya dan memacu semangat kompetitif manusia – semua ini memang sangat penting untuk terus maju ke hadapan.”

Jelas Han lagi, sokongan BMW Group Malaysia terhadap sukan luncur ais menerusi ISAM menyerlahkan komitmen pengeluar kenderaan premium itu untuk memupuk perkembangan bakat dan kualiti pasukan Kebangsaan Malaysia dalam memberi inspirasi dan cemerlang dalam saingan di peringkat antarabangsa.

“Melalui kerjasama dengan ISAM, kami harap bukan sekadar mampu meningkatkan profail sukan ini di Malaysia, malah mendapatkan sokongan untuk pasukan Kebangsaan Malaysia dalam sukan Luncur Ais Berbunga dan Luncur Ais Laju Jarak Pendek pada acara Sukan SEA KL 2017 tidak lama lagi. Di samping usaha mereka untuk layak ke Sukan Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan pada tahun 2018,” kata Han.  

Pada majlis yang sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Belia dan Sukan, Encik Nik Abd Kadir bin Nik Mohammad berkata, “Semua atlet kita sentiasa menunjukkan kesungguhan dan semangat untuk terus cemerlang – kualiti yang memberikan saya keyakinan mengenai potensi mereka untuk pergi jauh dalam arena sukan antarabangsa. Adalah cukup bagus apabila melihat syarikat swasta multinasional seperti BMW Group Malaysia berkongsi pandangan yang sama dengan ahli sukan tempatan. Memandangkan kita semakin hampir dengan Sukan SEA di Kuala Lumpur dan kelayakan untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menyatakan sokongan kepada Pasukan Kebangsaan Malaysia seterusnya memberikan mereka semangat untuk mencapai kejayaan.”

Presiden ISAM, Mohamad Fadzli Johan berkata, “Kami bersyukur kerana BMW Group Malaysia menghargai serta percaya dengan potensi para atlet untuk berjaya dalam sukan luncur ais di peringkat serantau dan antarabangsa. Kami yakin bahawa sokongan daripada syarikat besar seperti BMW Group Malaysia akan membantu memberi motivasi dan memacu pasukan kami untuk terus maju dalam pertandingan ini.”

Komitmen BMW Group Malaysia dengan ISAM akan menyaksikan pengeluar kenderaan premium itu menyokong Pasukan Kebangsaan melalui tajaan sut kulit serta topi keledar keselamatan. Bukan itu sahaja, enam orang atlet daripada Pasukan Elit Luncur Ais Laju Jarak Pendek bakal menjalani program latihan selama empat bulan di Korea Selatan mulai Mei hingga Ogos 2017. Pengeluar kenderaan premium itu juga akan menaja Sukan Ujian Sukan SEA anjuran ISAM yang berlangsung pada 13-16 Julai di Empire City Mall.


Pertandingan Luncur Ais Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan diadakan mulai Jumaat hingga Ahad, 25-27 Ogos 2017. Sementara pertandingan Luncur Ais Laju Jarak Pendek pula bakal berlangsung pada Isnin hingga Rabu, 28-30 Ogos 2017. 


Pasukan Kebangsaan Malaysia akan bersaing untuk merebut lapan pingat – 2 bagi kategori Lelaki dan Wanita dalam acara Luncur Ais Berbunga serta enam pingat untuk Luncur Ais Laju Jarak Pendek. Ia melibatkan kategori Lelaki, Wanita, 500 meter, 1,000 meter dan 3,000 meter relay. ISAM menetapkan sasaran untuk membawa pulang tiga pingat emas daripada acara sukan serantau yang berprestij itu.