Connect with:




Kejohanan Memanah Terbuka BJ Wolfpack Cup 2019 Siri Dua Peringkat Kebangsaan BJ Wolfpack Archery Club dengan kolaborasi strategik bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam telah berakhir dengan jayanya.

Kejohanan kategori sekolah menengah dan terbuka ini melibatkan seramai 220 orang peserta yang diadakan di Padang SMK Shah Alam. Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran pemanah jemputan dari Pasukan Pelapis Elit Kebangsaan di bawah kendalian jurulatih memanah recurve wanita, Mohd Marbawi Sulaiman.

Dalam pada itu, pertandingan berkenaan diadakan bertujuan untuk mengasah bakat-bakat muda dalam sukan memanah dan turut menjadi medan persediaan para pemanah sebelum ke pentas pertandingan lebih besar.

Majlis perasmian penutupan Kejohanan Memanah Terbuka BJ Wolfpack Cup 2019 Siri Dua Peringkat Kebangsaan ini dirasmikan oleh Adun Kota Anggerik, YB Mohd Najwan Halimi di Dewan SMK Shah Alam Bukit Jelutong Timur.

“Sukan memanah ini boleh meningkatkan daya tumpuan dan fokus kita. Kalau kena dengan cara dan gaya latihan, mudah-mudahan (pemanah) di dalam dewan ini boleh menyumbang pingat emas Olimpik kepada Malaysia dan para pelajar teruskan memberi yang terbaik kepada sukan memanah ini.

“Pada masa sekarang ibu bapa lebih terbuka dan komited dalam menyokong aktiviti sukan anak-anak. Ini adalah salah satu sikap yang cukup baik dan saya sebagai ibu bapa muda memang ada keterujaan bila melibatkan aktiviti anak-anak di sekolah. Saya harap Persatuan Memanah BJ Wolfpack akan komited dan terus memberikan yang terbaik dalam menyokong usaha memanah ini.

“Saya berharap program ini dapat memberi impak yang terbaik kepada kita seterusnya memberi satu lonjakan untuk terus memajukan diri dan sukan memanah ini. Teruskan usaha, yang kalah bukan bererti gagal, yang menang belum tentu boleh terus menang di masa akan datang. Yang penting kerja kuat, buatlah yang terbaik dan yang membanggakan diri kita dan keluarga kita”, kata YB Mohd Najwan yang turut memberi sumbangan mock check dari DUN Kota Anggerik.

Pasukan BJ Wolfpack raih naib juara.

Juara keseluruhan bagi kejohanan ini dimenangi oleh pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang dengan mata keseluruhan 103. Juara keseluruhan membawa pulang wang tunai RM1000 tajaan Elda Archery serta piala pusingan. Tempat kedua diraih oleh pasukan BJ Wolfpack Archery Club dengan 82 mata dan membawa pulang RM500. Tempat ketiga pula telah dimenangi oleh pasukan TKAC dengan pungutan 44 mata. Hadiah telah disampaikan oleh YB Mohd Najwan kepada para pemenang.

Foto: BJ Wolfpack