Connect with:




Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam dengan kerjasama BJ Wolfpack Archery telah menganjurkan Kejohanan Memanah Terbuka BJ Wolfpack Cup 2019 Siri Dua Peringkat Kebangsaan.

Kejohanan ini melibatkan seramai 416 orang peserta yang diadakan di Padang SMK Shah Alam. Kejohanan ini juga diadakan untuk melahirkan dan mengasah bakat-bakat muda dalam sukan memanah selain melatih peserta untuk kekal sihat dari segi kesihatan fizikal, mental, jasmani, rohani dan intelektual.

Majlis perasmian penutupan Kejohanan Memanah Terbuka BJ Wolfpack Cup 2019 Siri Dua Peringkat Kebangsaan ini dirasmikan oleh Adun Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi di Dewan SK Bukit Jelutong.

“Sukan memanah dulunya tidak mendapat sambutan kerana kos yang tinggi serta menjadi satu hobi yang mahal tetapi kini sukan memanah telah berkembang dengan baik sekali.

“Sukan memanah juga adalah satu sunnah Rasulullah selain daripada sukan berkuda dan berenang. Jadi ia bukan sukan yang sia-sia.

“Jadi anak-anak muda perlu jadikan sukan memanah sebagai platform untuk kembangkan bakat. Pelaburan daripada ibubapa akan menampakkan hasilnya satu masa nanti. Nasihat saya untuk para peserta supaya tidak terlalu fokus kepada sukan sehingga meninggalkan pelajaran”, kata Najwan.

Juara keseluruhan bagi kejohanan ini dimenangi oleh Pasukan Pro X SK USJ20 @AKMA dengan mata keseluruhan 172. Juara keseluruhan membawa pulang wang tunai RM1000 serta piala. Tempat kedua diraih oleh Pasukan BJ Wolfpack Archery Club dengan 128 mata dan tempat ketiga diraih oleh Pasukan Gege Archery Club dengan kutipan mata 64.

Hadiah disampaikan oleh Adun Kota Anggerik serta Guru Besar SK Bukit Jelutong kepada semua pemenang.

Foto : Azizol / Dunia Sukan