National Basketball Association (NBA) telah mengumumkan bintang Charlotte Hornets, Marvin Williams akan terbang ke Kuala Lumpur hujung minggu ini bersempena pusingan akhir Jr.NBA Malaysia 2017 yang berlangsung dari 28 hingga 30 Julai di One Utama.

Williams akan berkongsi pengalamannya sebagai pemain profesional selain akan turut berinteraksi dengan para peminat termasuk menandatangani autograf.

“Saya tidak sabar untuk mengunjungi Malaysia dan membantu membangunkan sukan ini di sana.

“Saya juga teruja untuk melihat bakat-bakat baharu dari negara ini” kata Williams dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur Jr.NBA Malaysia 2017.

Selain Williams, acara akan turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot pasukan Atlanta Hawks, Harry The Hawk.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Dutch Lady Milk Industries, Ashlee Ng berkata, kehadrian Wiliiams pasti memberi semangat kepada para peserta pusingan akhir Jr.NBA Malaysia.

“Kami bukan sahaja mahu para peserta cemerlang dalam sukan bola keranjang ini, malah inginkan mereka sedar akan kepentingan pemakanan. Ini semua penting untuk menjadi pemain profesional.

“Ia selaras dengan kempen Be Strong kami yang menginginkan kanak-kanak dan remaja di Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat meenrusi kativiti edu-tainment dari Dutch Lady” jelas Ashlee.

Pusingan akhir Jr.NBA Malaysia 2017 turut akan dijadikan kem kebangsaan dengan melibatkan 32 peserta lelaki dan perempuan yang akan dinilai menerusi skill, latihan dan perlawanan ujian. Kesemua mereka telah disaring menerusi kem pemilihan sebelum ini yang diadakan di Kuala Lumpur.