Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bimbang apabila tidak kelihatan kelibat dua orang tonggak baharu dari Indonesia untuk menjalani latihan yang mula diadakan dua minggu lalu.

 

Walhal, dua orang pemain ini, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn sudahpun menandatangani kontrak bersama The Red Giants untuk menghadapi Liga Malaysia musim hadapan.

 

Menerusi kenyataan setiausaha agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin, sebelum ini Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) tidak pernah menghalang pemain mereka untuk bermain dalam Liga M, akan tetapi ketiadaan kelibat dua orang tonggak ini sudah cukup memusykilkan beberapa pihak.

 

FAS juga bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan PSSI bagi menjelaskan isu ini, perbincangan ini juga akan dilakukan dalam masa yang terdekat.

 

FAS juga mengharapkan rundingan ini berjalan dengan baik dan tidak mahu memanjangkan isu ini sehingga ke Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana ia boleh menjejaskan reputasi kedua pemain tersebut.

 

Hal ini terbangkit dari kenyataan Presiden PSSI sendiri, Edy Rahmayadi yang menyatakan bahawa kedua pemain itu tidak patriotik terhadap negara dan menyifatkan mereka sebagai ‘materialistik’.

 

Ini berikutan daripada sikap tidak profesional presiden tersebut yang menyatakan jika pemain Indonesia bermain di Liga M, dikhuatiri pasukan Malaysia akan mengetahui corak permainan pemain Indonesia.

 

 

Dua pemain itu dijangka melaporkan diri dan menyertai sesi latihan pasukan pada 22 Disember ini, namun dengan perkembangan terbaharu itu, mereka dijangka menyertai sesi latihan pasukan tersebut pada awal Januari.