Bibi Ramjani Ilias Khan telah memecah tradisi menjadi peneraju baharu sekaligus wanita pertama sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sejak ditubuhkan pada tahun 1946.

Datuk Seri Afandi Hamzah, Timbalan Presiden KAFA menyatakan Bibi Ramjani Illias Khan akan memimpin persatuan itu bagi penggal 2017 hingga 2021.

Afandi menambah, pengiraan undi bagi jawatan Presiden perlu dilakukan sebanyak dua kali selepas seorang lagi calon presiden, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, juga naib presiden tidak berpuas hati ketika pengiraan undi.

” Pada pengiraan pertama, Bibi Ramjani mendapat 32 undi manakala Muhammad Nasir pula mendapat 19 undi sehingga menyebabkan beliau menentang keputusan tersebut.

“ Keputusan pada pengiraan kedua tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan apabila Bibi Ramjani masih mendahului dengan 32 undi dan Muhammad Nasir pula hanya menerima 16 undi daripada Persatuan Bola Sepak Jajahan”, katanya kepada pemberita selepas Kongres KAFA kali ke-63 di sini.

Perlantikan ini sekaligus menjadikan Bibi Ramjani Illias Khan sebagai wanita kedua di negara yang dilantik sebagai Presiden selepas perlantikan Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Presiden Johor Darul Ta’zim (JDT) Julai tahun lepas.

Bibi Ramjani menyatakan hasratnya untuk mengukuhkan kewangan KAFA dengan membawa masuk penajaan daripada tiga syarikat multinasional dan berharap agar penyokong pasukan Kelantan dapat memberinya masa untuk menstruktur kembali pasukan agar dapat menjadi antara gergasi bola sepak negara yang digeruni.

Foto Kredit: Kelantan FA