Connect with:




Beregu badminton campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai meneruskan rentak cemerlang mereka apabila berjaya melangkah ke suku akhir kejohanan badminton All England 2019 di Arena Birmingham pada Khamis (awal pagi Jumaat waktu Malaysia).

Goh-Shevon mempamerkan semangat juang tinggi meranapkan peluang beregu pilihan ketujuh kejohanan Marcus Ellis-Lauren Smith dari England dengan kemenangan dua set berturut-turut 21-15, 26-24, menurut laman web kejohanan Jelajah Dunia, Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pertarungan yang berlangsung lebih 40 minit itu menyaksikan Goh-Shevon berjaya menutup ruang pencabarnya yang berusaha membawa perlawanan tersebut ke set penentuan.

Menanti Goh-Shevon selepas ini mempunyai cabaran lebih sukar kerana pasangan itu akan membuat perhitungan dengan beregu pilihan kedua Wang Yilyu-Huang Dongping dari China.

Naib juara kejohanan badminton dunia 2018 itu mudah menewaskan beregu dari Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung dengan 21-17, 21-11.

Pemain beregu lelaki negara Goh V Shem (kanan) dan Tan Wee Kiong.

Sebelum ini, beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong lebih awal menempah slot ke suku akhir selepas menewaskan beregu Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe dengan 21-18, 21-19.

Kemenangan itu menyaksikan mereka akan berdepan dengan pilihan kelapan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan beregu bukan pilihan dari China, Ou Xuanyi-Ren Xiangyu sehingga set penentuan dengan 13-21, 21-19, 23-21.

Dalam pada itu nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren apabila mudah ditewaskan oleh pemain pilihan kedua kejohanan, Shi Yuqi dari China dengan 8-21, 10-21. – BERNAMA

Foto : BWF