Connect with:




Bukan mudah untuk atlet dari Malaysia mencipta kejayaan dalam acara yang dipertandingan di Olimpik Musim Sejuk.

Sebagai negara beriklim tropika, agak sukar untuk menyaingi kuasa-kuasa besar Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan China.

Namun itu semua tidak menjadi masalah buat Sree Abiraame B Chendren. Baru berusia 6 tahun, Abiraame baru-baru ini telah memenangi empat emas dalam kejohanan luncur ais Skate Asia di Bangkok.

Abiraame yang jelas berbangga dapat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa kini menetapkan misi untuk layak ke Sukan Olimpik musim sejuk 2026.

Bagaimanapun Abiraame mungkin berdepan jalan berliku untuk mencapai matlamatnya ekoran kesukaran untuk mendapatkan bantuan dari pihak kerajaan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh bapanya, B Chendren Balakrishnan dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian.

“Perbelanjaan untuk sukan luncur ais sangat besar. Saya sendiri telah laburkan hampir RM 40000 untuk persiapan latihan sahaja. Kasut pula harganya lebih kurang RM 5000 sepasang. Malah tempat latihan di Empire City Damansara pun kami perlu bayar.

“Kita dah rujuk dengan Menteri KBS sebelum ini namun tidak ada maklum balas. Saya harap sangat kerajaan sekarang dapat membantu meringankan beban kami yang sudah berhabis duit beribu-ribu hanya demi membawa nama Malaysia” memetik kenyataan Chendren kepada media ketika ditemui di KLIA sejurus pulang dari Bangkok.

Kejayaan Abiraame menunjukkan potensi cerah Malaysia dalam acara figure skating. Sebelum ini, negara berjaya memenangi emas acara figure skating kategori lelaki pada Sukan SEA 2017 menerusi Julian Yee yang turut mencipta sejarah muncul atlet pertama negara beraksi di Sukan Olimpik musim sejuk pada Februari lalu di PyeongChang.