Baru-baru ini bekas bintang Arenal, Sol Campbell yang hadir ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan Astro Supersport telah menyuarakan keinginannya menjadi jurulatih.

Hal ini bukanlah perkara yang baharu kerana Campbell sudah lama ingin mengemudi pasukan selepas bersara dari bolasepak pada 2011. Baru-baru ini juga beliau menyatakan kesediaan untuk membimbing Malaysia.

“Saya tidak menolak kemungkinan menjadi jurulatih di benua Asia. Mungkin juga sebagai penasihat” katanya dalam satu sesi bertemu media di Cheras, pada Khamis.

Campbell sebelum ini telah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Trinidad dan Tobago. Pertahanan skuad ‘The Invicbles’ ini memberitahu bolasepak antarabangsa sememangnya berbeza dengan bolasepak peringkat kelab.

“Cabaran paling sukar ketika saya di Trinidad dan Tobago adalah mengumpulkan pemain untuk sesi latihan.

“Pernah sekali, ada seorang pemain hanya melaporkan diri sehari sebelum perlawanan. Ia jelas tidak masuk akal”.

Campbell percaya beliau mempunyai kualiti untuk bergelar jurulatih yang cemerlang namun mengakui dirinya berdepan banyak cabaran seperti tidak diberikan peluang termasuk dari bekas kelabnya, Arsenal.

“Ada pihak tawarkan saya untuk terlibat dalam pembinaan akademi bolasepak namun buat masa ini, matlamat saya adalah melatih kelab utama”.