Ketua Jurulatih dan Pengarah Teknikal untuk Pasukan Futsal Negara, Chiew Chun Yong berpendapat sukan futsal perlu dibangunkan seiringan dengan program seperti didalam sukan bola sepak.

Sepertimana bola sepak, Chun Yong mahukan program futsal bermula daripada peringkat ‘grassroot’ atau pembangunan akar umbi. Oleh yang demikian, beliau yang juga merupakan Instruktor Elit untuk AFC telah merangka satu program pembangunan futsal mirip dengan program yang dijalankan dengan Milo iaitu Hidup Bola.

‘’Program Futsal Hidup Bola telah menghasilkan ramai produk bola sepak yang berbakat seperti Nik Akif dan Thivandran (pemain bawah 23 tahun Malaysia), jadi tidak mustahil lebih banyak bakat mampu dihasilkan jika program seperti ini diberi lebih perhatian,” ujar Chun Yong.

Modul yang dimaksudkan oleh beliau ini bakal meliputi peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya institusi pengajian tinggi. Ianya bukan sahaja menitik beratkan corak latihan dan kejohanan, malah ianya juga akan tertumpu kepada ‘lifestyle’ seorang atlet untuk lebih berkembang.

Chun Yong berharap lebih banyak pihak tampil untuk membantu beliau merealisasikan program pembangunan futsal ini. Peranan badan-badan swasta dan kerajaan adalah amat penting dalam membawa program ini kearah yang lebih serius dan kehadapan. Tidak mustahil melalui program seperti ini sukan futsal negara kita mampu bersaing dengan nama-nama besar kelak.