Connect with:




Barisan pertahanan Kedah tidak goyah bertemu Pahang selepas kehilangan pertahanan import, Renan Alves yang menjalani hukuman penggantungan perlawanan setelah menerima kad merah dalam perlawanan menentang PKNS FC.

Pertahanan kiri Kedah, Alif Yusof yakin benteng Lang Merah tetap kukuh dengan percaturan baharu yang ditentukan oleh ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak walaupun masih terasa ‘kehilangan’ rakan seperjuangannya itu yang menunjukkan prestasi terbaiknya sepanjang lima perlawanan yang lalu.

“Bagi saya kekuatan benteng Kedah tidak ‘goyang’, malah tetap sama kerana saya yakin kepada siapa sahaja yang akan menggantikan posisi berkenaan mampu memberi kerjasama dan komunikasi yang diharapkan kerana kami dilatih bekerja sebagai satu pasukan.

“Perkara utama adalah kita perlu lihat kehadapan, tak perlu kita terlalu memikirkan ketiadaan Alves dan jika kita bersatu hati dalam aksi serta mengikut arahan yang akan ditetapkan oleh ketua jurulatih, pasti perancangan pasukan akan menghasilkan kejayaan.

“Memang apabila disahkan beliau tak dapat beraksi kita agak risau, tetapi melihat kepada fokus dan kesungguhan pasukan buat masa ini, saya yakin siapa sahaja pengganti yang akan dipilih oleh jurulatih nanti memiliki kelebihan tersendiri”, jelas Alif.

Alif yang juga mampu beraksi di bahagian sayap turut bersyukur benteng Kedah yang setakat ini hanya bolos dengan satu gol sepanjang lima perlawanan lalu dan berharap kedudukan ini dapat dikekalkan untuk perlawan seterusnya bertemu Pahang.

“Reputasi serta kedudukan Pahang sekarang berada pada tahap yang terbaik dan itu merupakan cabaran untuk kami tingkatkan lagi usaha kerana fokus kami ke Kuantan adalah untuk mencari tiga mata.

“Walau apa pun kelebihan atau kelemahan yang kita dengar mengenai pihak lawan, kita tidak harus ambil mudah dan sebaliknya kita mesti tetap waspada dan beri fokus sepenuhnya untuk mencari kemenangan”, tambah Alif.

Foto : Kedah FA