Connect with:




Belinda Bencic akan bertemu pemain dari Jerman, Angeluque Kerber dalam aksi separuh akhir selepas kedua-dua pemain menewaskan lawan masing-masing di peringkat suku akhir.

Bencic menunjukkan jalan keluar kepada pemain nombor lima dunia, Karolina Pliskova dengan 6-3, 4-6, 6-3 untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Indian Wells.

Pemain Switzerland yang berusia 22 tahun itu sebelum ini menyingkirkan pemain nombor satu dan juara bertahan, Naomi Osaka.

Bencic melakukan servis luar biasa yang menyukarkan Pliskova untuk membalas pukulannya.

“Saya tahu yang dia mempunyai servis yang baik. Apa yang jelas, perancangan saya adalah untuk cuba bermain rali dengannya dan menjadi lebih baik ketika bertahan dan juga dominan apabila saya boleh melakukannya”, kata Bencic yang juga rakan kepada Pliskova.

Sejak awal tahun ini, pemain nombor 23 dunia itu sudah menewaskan enam lawan yang berada di kelompok 10 terbaik dan dilihat sudah melupakan kebimbangan mengenai kecederaan yang mengganggu rentaknya tahun lalu.

“Ia satu impian. Saya tidak percaya yang saya mampu menang hari ini. Saya memasuki gelanggang dengan tidak menjangkakan apa-apa dan hanya cuba bermain sebaik mungkin”, tambah Bencic.

Sementara itu, lawannya di separuh akhir, Kerber berjaya menewaskan pemain Amerika Syarikat, Venus Williams dengan keputusan 7-6, 6-3.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menemukan pemain nombor enam dunia, Elina Svitolina dengan pemain nombor 60 dunia, Bianca Andreescu.

Foto : WTA Tennis