Connect with:




Juara enam kali Roger Federer berjaya bangkit dari kekalahan mengejut di tangan pemain Jepun, Kei Nishikori beberapa hari lalu apabila berjaya menundukkan pemain Austria, Dominic Thiem dengan keputusan 6-2, 6-3 dalam Final ATP di 02 Arena, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan legenda Switzerland itu tidak tersingkir dari saingan selepas kekalahan di tangan Kei Nishikori pada aksi pembukaan perlawanan round-robin meletakkan beliau dalam kedudukan sukar.

Federer tunduk dengan keputusan straight set pertamanya dalam 46 perlawanan peringkat kumpulan di kejohanan penutup musim itu.

Satu lagi kekalahan akan menutup ruang buatnya mara ke separuh akhir buat kali ke-15 dalam 16 penampilan di kejohanan itu.

Cuma 48 jam diperlukan pemain berusia 37 tahun itu untuk bangkit dari kekalahan  memalukan itu apabila beliau berjaya memperagakan aksi mantap untuk mengetepikan Thiem.

“Saya gembira dengan kebangkitan selepas tewas dalam perlawanan sebelum ini. Berdepan Nishikori, saya sepatutnya melihat dari sudut positif tetapi saya melakukan yang sebaliknya.

“Ia mengecewakan tetapi ia sudah berlalu. Hari ini (semalam) saya lebih positif dan seronok di atas gelanggang.

“Saya gembira beraksi di London dan saya sering mengingatkan diri saya yang ia adalah satu keistimewaan dapat bermain di sini. Saya harap saya menunjukkannya,” jelas Federer.

Beliau akan berdepan wakil Afrika Selatan, Kevin Anderson pada perlawanan terakhirnya dalam kumpulan Lleyton Hewitt esok.

Terdahulu, Anderson tiada masalah untuk mengutip kemenangan kedua buat dirinya apabila berjaya mengatasi bintang Jepun, Nishikori dengan keputusan 6-0, 6-1.

Meskipun keempat-empat pemain dalam kumpulan itu mempunyai peluang secara matematik untuk mara, Federer pastinya mahu menundukkan Anderson bagi melunaskan kekalahan di tangan bintang Afrika Selatan itu pada Wimbledon tahun ini.

 

Foto : AFP

Sumber : The Guardian