LEGENDA bola sepak negara era 80-an, Mohd Raimi Mohammed Jamil, 55, yang sepatutnya menjalani pembedahan jantung pagi ini terpaksa ditangguhkan ke hari lain selepas keadaan jantungnya tidak stabil.

Mohd Raimi ketika dihubungi mengesahkan perkara itu selepas dimaklumkan doktor namun tetap reda serta sentiasa sedia untuk menjalani pembedahan berkenaan.

“Sepatutnya saya dibedah hari ini, namun doktor memaklumkan terpaksa menunggu antara tiga hingga lima hari lagi untuk darah kembali pekat dan stabil bagi mengurangkan risiko pendarahan ketika proses pembedahan berjalan.

“Doktor juga memaklumkan salur darah saya terlalu sempit dan berisiko tertutup dan seterusnya boleh membawa kematian.

“Sebab itu doktor nasihatkan saya supaya berehat dan tenangkan fikiran kerana pembedahan boleh dijalankan pada bila-bila masa jika keadaan jantung saya dan darah kembali stabil.

“Justeru saya mohon semua khususnya peminat bola sepak mendoakan proses rawatan dan pembedahan jantung nanti berjalan dengan lancar,” kata Raimi.

Pada 2 Februari lalu, bekas 10 penjaga gawang terbaik Asia itu yang juga legenda bola sepak Terengganu era 80-an dan 90-an dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur selepas diserang penyakit jantung.

Sebelum itu Raimi yang pernah menimba ilmu penjaga gol di England dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dekat sini selepas tidak sedarkan diri yang kemudian disahkan akibat masalah jantung.

Sumber: Harian Metro

Foto Kredit: twitter(dot)com