Connect with:




Bintang MMA negara, Agilan Than menempuh tempoh yang memeritkan tahun lalu – tewas dua pertarungan di halaman sendiri.

Pada Julai tahun lalu, ‘The Alligator’ tumbang kepada Zebastian Kadestam dalam aksi penting untuk melayakkan dirinya mencabar kejuaraan tali pinggang welterweight ONE Championship.

Lima bulan kemudian, sekali lagi di halaman sendiri, Agilan tersungkur. Kali ini kepada Kiamrian Abbasov.

Agilan mengakui sejak itu, dia mengalami tekanan dalam dan luar gelanggang. Kecederaan bahagian belakang hanya membuat situasi tersebut menjadi lebih teruk.

Bagaimanapun semuanya berubah selepas dia menjalani pembedahan. Kehidupannya kembali teratur dan Agilan mendapat semangat baharu.

Pada 12 Jun lalu di Shanghai, selepas berehat hampir enam bulan, Agilan kembali beraksi dalam gelanggang. Lawannya ketika itu ialah judoka terkenal dari Jepun, Yoshihiro Akiyama.

Bagi mereka yang kerap melihat pertarungan Agilan, aksi menentang Akiyama boleh dikatakan sangat mengejutkan. Ini kerana gaya pertarungannya cukup berbeza dengan pertarungan sebelum ini.

Agilan dikenali sebagai seorang grappler yang cukup berbahaya apabila berlawan secara on-the-ground. Ada pengkritik mengatakan Agilan tidak bagus jika bertanding secara berdiri atau dalam erti kata yang lain, tidak mempunyai kehebatan dalam melepaskan tumbukan.

Ternyata itu semua hanya andaian kerana pada malam pertarungan di Shangai, anak kelahiran Sentul itu lebih banyak beraksi secara berdiri. Tumbukan demi tumbukan dilepaskan kepada Akiyama cukup membuatkan muka judoka tersebut ‘rosak’ teruk.

Persembahan menakjubkan Agilan pada pertarungan tersebut membawa satu makna – Agilan, prospek cerah Malaysia untuk bergelar juara dunia di pentas ONE kini benar-benar kembali.

Adakah sudah tiba masa untuk Agilan kembali menumpukan perhatian merampas tali pinggang welterweight yang dipegang Kadestam?

Soalan tersebut ditanyakan kepada Agilan semasa majlis media bersama bintang ONE Championship Malaysia baru-baru ini di Bangsar.

“Belum masanya lagi. Banyak lagi perkara yang saya perlu tingkatkan. Saya tidak mahu terburu-buru seperti kesilapan yang saya lakukan ketika bertemu Ben Askren.” kata Agilan.

“Saya perlu sekurang-kurangnya tiga pertarungan lagi sebelum bersedia turun ke dalam gelanggang dan merampas takhta kejuaraan dunia”.