Connect with:




Pernah sesuatu ketika dahulu, peminat sukan terjun dikejutkan dengan kes bekas jurulatih terjun kebangsaan, Huang Qiang yang didakwa merogol seorang atlet terjun kebangsaaan wanita di Kompleks Akuatik Sukan Negara dua tahun lalu.

Susulan kontroversi itu, Huang Qiang didapati tidak bersalah sekaligus dibebaskan dan dilepas daripada tuduhan berkenaan.

Hakim Noradura Hamzah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Huang, 37, di akhir kes pembelaan di Mahkamah Sesyen di sini.

“Mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan,” kata hakim itu setelah mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan pada prosiding perbicaraan kes itu yang bermula 19 Jan 2018.

Terdahulu, Huang yang mendapat taraf kerakyatan Malaysia dan berasal dari China dituduh atas kesalahan merogol mangsa di dalam gim kering, Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling, Cheras, di sini pada 5.30 petang, 26 Sept 2017.

Namun, dia mengaku tidak bersalah di mahkamah selepas proses perbicaraan berlangsung pada 11 Oktober 2017 yang mana jika disabitkan bersalah, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Pada 9 April 2018, Huang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun pada 31 Okt 2018, Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Huang.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K.Vasugi manakala Huang diwakili peguam Mohd Hisham Md Nen.- Bernama